Anda di sini

‘Mat Over’ terharu diziarahi Finas walaupun kini kurang berlakon

Advertisement
 Zakaria (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mat Over. Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Felda Sdn Bhd Datuk Banuri Aris (dua, kiri). — Gambar Bernama
SUMBANGAN: Zakaria (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mat Over. Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Felda Sdn Bhd Datuk Banuri Aris (dua, kiri). — Gambar Bernama

PELAKON dan pelawak 90-an, Sulaiman Mat Yasin atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Over’ menzahirkan rasa terharu apabila masih ada pihak mahu menjengah kehidupannya yang kini semakin dilupakan dalam industri hiburan tanah air.

Sulaiman, 68, yang popular dengan sitkom ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ merupakan antara artis veteran diziarahi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini untuk disumbangkan wang tunai dan barangan keperluan harian menerusi program Finas Prihatin 2.0.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Finas kerana peka terhadap artis yang sudah tidak lagi aktif dalam industri. Mana-mana pihak pun akan terharu apabila masih ada orang yang ingat dekat kita.

“Dalam situasi semasa yang dilanda pandemik COVID-19 ini, saya berharap Finas dapat terus cakna dengan penggiat seni tanah air kerana tak semuanya bernasib baik, ada yang sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika dikunjungi Finas di rumahnya di Kampung Delek, di Klang, Selangor.

Sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian itu disampaikan sendiri oleh Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, seramai 50 penggiat seni khususnya warga emas atau yang hidup dalam kesusahan akan diziarah dan dibantu dalam program Finas Prihatin 2.0.

“Konsep ziarah kita ini bukan saja bagi menyampaikan sumbangan tapi untuk melihat keadaan mereka. Ia juga dijadikan platform mengumpulkan maklumat artis dan penggiat seni tanah air yang namanya tidak ada dalam mana-mana senarai persatuan seni tetapi memerlukan bantuan,” katanya.

Selain itu kata Zakaria, kunjungan agensi itu juga sekurang-kurangnya dapat menghebahkan mengenai ‘khabar’ pelakon lama kepada mana-mana penerbit drama atau filem yang selama ini tidak mengetahui keadaan mereka.

“Contohnya abang ‘Mat Over’ ini, apabila kita ziarah, baru kita tahu yang beliau masih sihat untuk berlakon. Mungkin selama ini penerbit tidak tahu keadaannya, disebabkan itu beliau kurang mendapat tawaran lakonan,” katanya.

— Bernama

Advertisement