Anda di sini

Pengakap AS dicemari kes seksual

Advertisement
 Gambar fail 4 Julai, 2018 menunjukkan para pengakap mengusung bendera kebangsaan semasa perarakan di San Gabriel, California ketika sambutan hari Kemerdekaan. — Gambar AFP
TRAUMA: Gambar fail 4 Julai, 2018 menunjukkan para pengakap mengusung bendera kebangsaan semasa perarakan di San Gabriel, California ketika sambutan hari Kemerdekaan. — Gambar AFP

WASHINGTON: Hampir 90,000 mangsa pencabulan seksual yang berlaku dalam Boy Scouts of America (BSA) tampil petang kelmarin, tarikh akhir untuk menerima pampasan daripada pertubuhan tersebut, menurut peguam mangsa.

Peguam Michael Pfau menyatakan bahawa terdapat 88,000 dakwaan yang difailkan setakat ini dan kemungkinan mencecah 100,000.

Jumlah tersebut mende-dahkan skala pencabulan yang dilakukan sepanjang beberapa dekad oleh ketua pengakap, tanpa mengambil kira sekitar 11,000 aduan yang dipercayai telah difailkan sejak beberapa tahun terhadap Gereja Katolik.

“Kami berasa terkejut dengan jumlah mangsa yang menerima kesan akibat pencabulan lampau ketika menjadi pengakap dan terharu dengan keberanian mereka yang tampil,” menurut pertubuhan pengakap itu dalam satu kenyataan.

“Kami berasa kecewa kerana kami tidak mampu untuk melakukan apa-apa bagi melegakan penderitaan mereka.

“Kami bercadang untuk membentuk satu proses terbuka dan mudah diakses untuk menghubungi mangsa yang masih hidup dan membantu mereka mengambil langkah penting ke arah menerima pampasan.

“Respons yang kami lihat daripada mangsa lain amat menyedihkan dan kami berasa cukup kesal,” tambah pihak BSA.

Kumpulan itu yang diasaskan pada 1910, mempunyai 2.2 juta anggota berusia antara lima dan 21 tahun.

Dikejutkan dengan tuduhan pencabulan seksual, BSA memfailkan bankrap pada Februari dalam usaha untuk menyekat tuntutan pampasan daripada melibatkan pertubuhan itu secara langsung, sebaliknya menyalurkan mereka kepada tabung pampasan.

Kumpulan tersebut yang dinilaikan lebih AS$1 bilion,tidak menyatakan jumlah dana bagi tabung tersebut.

Pembongkaran salah laku dalam lingkungan kumpulan pengakap AS itu mendapat perhatian meluas pada 2012 ketika Los Angeles Times menerbitkan dokumen dalaman menyebut maklumat mengenai pencabulan seksual selama beberapa dekad.

Kira-kira 5,000 fail kelakuan seksual yang pelik telah didedahkan, mengenal pasti ramai pelakunya dalam kalangan pihak kepimpinan pengakap, termasuk ketua pengakap dan ketua kumpulan.

Kebanyakan insiden tidak pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan BSA mengambil tindakan sendiri dengan memecat pelaku yang dituduh.

Beberapa kes telah difailkan terhadap BSA sejak 2012, terutama selepas beberapa negeri melanjutkan statutori had pertuduhan bagi pencabulan seksual kanak-kanak.

Pihak kepimpinan Gereja Katolik AS yang turut terjejas dengan dakwaan pencabulan seksual kanak-kanak, dijangka mengadakan secara maya persidangan tahunannya pada Isnin depan.

Agenda telah dikemas kini untuk melibatkan perbincangan mengenai laporan Vatikan yang dikeluarkan minggu lepas untuk memecat Kardinal Theodore McCarrick dan tindakan berdiam diri ramai rakannya.

Dokumen setebal 450 muka surat menjelaskan beberapa insiden di mana paderi muda atau kolej agama melaporkan tuduhan mengenai salah laku McCarrick namun siasatan tidak pernah dibuka.

“Ia akan mengambil masa untuk memproses banyak pengajaran yang ditemui dalam beratus-ratus muka surat pada nota kaki,” kata Uskup Agung Los Angeles Jose Gomez, yang akan mempengerusikan persidangan.

“Secara individu dan kolektif, kami memohon maaf bagi trauma yang berpunca daripada mereka yang melakukan pencabulan,” kata beliau. — AFP

Advertisement