Anda di sini

Guru bersama pelajar, ibu bapa redah hutan untuk mendapatkan internet di Lubok Antu

Advertisement
Kumpulan tesebut melalui jambatan kecil menuju ke destinasi
Kumpulan tersebut menuju ke lokasi bagi mendapatkan liputan internet baik. - Gambar Facebook Nanga Sumpa,Lubok Antu,Sarawak

KUCHING: Seorang guru baru-baru ini mengambil inisiatif untuk memimpin sekumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah dari kampungnya di Nanga Sumpa dan Nanga Jambu berdekatan Lubok Antu untuk meredah hutan demi mendapatkan liputan internet yang baik.

Perjalanan sehala dari kampung tersebut ke tempat yang mempunyai akses internet mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit.

Sambau Dugat, guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan  Lubok Antu, memaklumkan bahawa beliau nekad membuat perjalanan itu pada hari Ahad setelah melihat pelajar dari kampungnya kerap melakukan perjalanan sendiri untuk mendapatkan kemudahan internet.

“Liputan internet merupakan masalah utama di kawasan dan kampung saya. Tiada kemudahan internet yang baik buat masa ini dan pelajar dari kampung saya sangat memerlukannya untuk membantu mereka dalam pelajaran.

"Itulah sebabnya mereka perlu mencari tempat mempunyai liputan internet yang baik. Namun malangnya, bagi pelajar dari kawasan saya, tempat tersebut sangat jauh dari rumah," katanya ketika dihubungi The Borneo Post hari ini.

Sambau (duduk, kanan) dilihat bersama beberapa pelajar dan keluarga mereka semasa melakukan perjalanan tersebut baru-baru ini. - Gambar sumbangan Sambau
Sambau (duduk, kanan) dilihat bersama beberapa pelajar dan keluarga mereka semasa melakukan perjalanan tersebut baru-baru ini. - Gambar sumbangan Sambau

Sambau berkata sejumlah 14 murid sekolah rendah dan lapan pelajar sekolah menengah mengikuti perjalanan itu selepas sembahyang pagi Ahad.

Tambah beliau, mereka harus melalui hutan dengan berjalan kaki kira-kira 45 minit dan kemudian mendaki selama satu jam 45 minit ke tempat yang boleh memberikan mereka akses kepada internet.

“Perjalanan ini tidak mudah tetapi kami harus melakukannya kerana tidak ada jalan lain menuju ke destinasi tersebut. Kami harus melalui hutan tebal dan menyeberangi banyak sungai untuk sampai ke sana,” katanya.

Sebilangan besar pelajar yang mengikuti perjalanan itu juga ditemani ibu bapa mereka.

Oleh kerana mereka terpaksa berjalan selama berjam-jam, mereka turut membekal makanan dan membawa keperluan lain, selain komputer riba dan alat keperluan.

Sambau mengatakan ini adalah kali pertama beliau mengatur perjalanan sebegitu dan beliau merasakan ia perlu terutamanya apabila beliau melihat para pelajar di kampungnya ketinggalan dalam pelajaran.

"Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan di negara ini juga tidak mempermudahkan keadaan kami kerana terdapat sekatan dan larangan daripada kerajaan dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

“Kami tidak dapat melakukan perjalanan jauh dan meninggalkan kampung kami dengan tujuan untuk mendapatkan liputan internet yang baik di kawasan lain,” tambah Sambau.

Apabila ditanya adakah beliau akan mengatur perjalanan lain tidak lama lagi, Sambau mengatakan bahawa beliau tidak pasti kerana ia bukanlah perjalanan yang mudah.

Perjalanan Sambau dengan pelajar dari kampungnya baru-baru ini disiarkan di media sosial dan mendapat banyak perhatian daripada netizen.

Nanga Sumpa dan Nanga Jambu adalah perkampungan Iban yang terletak di pedalaman daerah Lubok Antu. 

Advertisement