Anda di sini

Video 'Midang Midang' Alena Murang dicalonkan dalam Festival Video Muzik Buenos Aires 2020

Advertisement
Sumber gambar: Instagram Alena Murang

KUCHING: Pemuzik anak Sarawak dan pemain sape, Alena Murang dicalonkan dalam Festival Video Muzik Buenos Aires 2020 untuk dua kategori anugerah iaitu "Video Antarabangsa Terbaik" dan "Gaya Terbaik", sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi antarabangsa. 

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencalonan tersebut menunjukkan bakat seni serta muzik Alena yang hebat dan ia dapat dilihat menerusi video muziknya yang baru-baru ini bernama 'Midang Midang'. 

Muzik video itu juga katanya, menggambarkan gaya fesyen berwarna-warni dan unik yang dimiliki Sarawak.

“Aspek lain yang menarik perhatian dalam pencalonan Alena bagi kategori Video Antarabangsa Terbaik adalah terdapat pesaing lain dari seluruh dunia dan tidak dilupakan, penyanyi pop yang telah memenangi pelbagai anugerah iaitu Madonna, turut bersaing dalam kategori tersebut. 

“Justeru, pihak kami teruja dan gembira dengan pencalonan tersebut di samping menzahirkan ucapan tahniah kepada Alena dan pasukannya,” ujar beliau dalam kenyataan akhbar hari ini. 

Tambah beliau, pencalonan ini sangat bermakna bagi semua penduduk di Sarawak terutamanya apabila cerita mengenai komuniti tempatan yang unik kini dikongsi di platform muzik antarabangsa.

“Alena tepat apabila beliau mengatakan bahawa walaupun kita kini berhadapan pandemik COVID-19, klip video muzik yang menunjukkan Kelabit tanah tinggi masih berjaya menembusi festival berprestij dan pentas global,” katanya lagi.

“Walaupun Festival Muzik Muzik Buenos Aires 2020 bertempat di Argentina dan akan diadakan secara maya pada 27 hingga 29 November kelak, berjuta-juta netizen dijangka mengikuti prosiding tersebut di pelbagai platform media sosial dan ini akan mendorong kemajuan Sarawak sebagai destinasi pelancongan untuk masa depan dan seterusnya.

“Dengan lebih dari 29,000 tontonan di YouTube, pihak kami berharap video muzik Alena akan terus menarik seluruh dunia untuk melihat banyak tempat pelancongan yang ditawarkan di Sarawak dan seterusnya akan menjadi salah satu destinasi "mesti dikunjungi" sebaik sahaja keadaan COVID-19 bertambah baik,” kata Abdul Karim.

Video muzik ‘Midang Midang’ yang dihasilkan oleh Project Room dan Kanid, dilancarkan pada 27 November tahun lalu dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Majlis Bandaraya Miri dengan penggambaran dilakukan di Bario dan Miri.

Advertisement