Anda di sini

Drama bersiri feminis cetus kegusaran di Pakistan

Advertisement
 Gambar yang diambil pada 16 Oktober 2020 ini menunjukkan Sarwat Gilani ditemubual oleh AFP di Karachi. — Gambar AFP
PELAKON UTAMA ‘CHURAILS’: Gambar yang diambil pada 16 Oktober 2020 ini menunjukkan Sarwat Gilani ditemubual oleh AFP di Karachi. — Gambar AFP

SEBUAH siri dalam talian yang berapi-api mengenai sekumpulan wanita yang membalas dendam ke atas kaum lelaki telah mencetuskan tindak balas yang hebat di negara konservatif Pakistan, di mana peraturan penapisan yang ketat menghalang program sedemikian daripada ditayangkan dalam televisyen.

Difilemkan di Karachi tetapi dikeluarkan oleh sebuah khidmat penstriman yang berpangkalan di India, ‘Churails’ atau ‘Witches’ (Wanita Sihir) dalam bahasa Inggeris, berkisar sekitar empat orang wanita yang membuka sebuah agensi penyiasat bawah tanah yang menyamar sebagai sebuah kedai baju untuk menangkap suami-suami yang curang.

Jalan cerita meliputi topik yang selalunya tidak disentuh seperti hubungan sejantina, eksploitasi seksual, dominasi lelaki dan obsesi Pakistan dengan kulit putih.

Ia menyebabkan keributan di kalangan kebanyakan audiensnya dalam talian – selalunya terbatas kepada warga Pakistan yang mewah dan mampu membuat bayaran untuk melanggan pelantar tersebut – tetapi menimbulkan kemarahan golongan konservatif selepas klip mula tular dalam media sosial.

“Bila semua kami membaca skrip buat pertama kali, kami berfikir kepada diri sendiri, ‘Adakah kita dibenarkan untuk membuat ini?”, kata aktres Mehar Bano.

Dia membawa watak Zubaida, seorang wanita muda dari sebuah keluarga tradisional yang miskin dan amat menyukai sukan tinju tetapi dilarang daripada menyertai sukan tersebut.

“Kami tahu apa yang kami buat, kami tahu sesuatu seperti ini akan mengundang banyak kebencian,” katanya kepada AFP.

Ia merupakan skrip berkisar sekitar wanita yang amat jarang sekali ada di Pakistan, di mana siri televisyen selalunya terbatas kepada perhubungan tegang di antara isteri yang duduk di rumah dengan ibu mertua mereka yang cerewet.

“Sebelum ini, saya tidak pernah mendengar atau melihat wanita ini dalam televisyen atau dalam pelantar digital atau filem, walaupun saya tahu mereka wujud,” kata pembuat filem British-Pakistan, Asim Abbasi, yang menulis siri 10 episod itu.

Dia berdepan dengan tuduhan yang tidak henti-henti “membuat perkara tidak bermoral sesuatu yang glamor” sejurus selepas siri itu mula distrimkan, terutamanya selepas satu klip dari siri itu tular dalam media sosial.

Ia menunjukkan watak seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya bercakap mengenai bagaimana dia terpaksa melakukan khidmat seks untuk majikannya supaya dia dapat dinaikkan pangkat.

Zee5 kemudian mengeluarkan siri itu buat seketika sementara ia “menangani” satu aduan dari Lembaga Televisyen Pakistan.

“Bagaimanakah kita memperbaiki sesuatu sedangkan ia tidak dibincangkan? Ia menge-kalkan status quo,” kata Bano mengenai aduan daripada “polis moral”.

Aktres itu, dengan wataknya yang diselamatkan daripada perkahwinan paksaan ketika ibu bapanya diacukan pistol, berkata gambaran wanita biasa sebagai hormat dan tunduk mengekalkan wanita Pakistan dalam keadaan serba kekurangan.

Abbasi berkata dia tidak mungkin dapat menerbitkan siri itu untuk televisyen Pakistan, yang berdepan dengan penapisan yang ketat daripada pihak berkuasa khususnya berhubung seksualiti.

Pelantar penstriman langganan antarabangsa tidak menghadapi kekangan yang sama, tetapi syarikat teknologi berisiko berdepan dengan larangan langsung – Pakistan seketika mengharamkan aplikasi video pendek dari China, TikTok, pada September lalu kerana kandungannya yang “tidak bermoral”.

Bintang siri itu Sarwat Gillani memberitahu AFP, negaranya “hidup dalam penafian”, dengan kehidupan warga Pakistan yang “bersalut gula” untuk televisyen.

“Kami tidak bercakap bohong,” katanya mengenai ‘Churails’, di mana dia membawa watak seorang isteri trofi kaya yang menubuhkan agensi penyiasat berkenaan selepas dia mendapati suaminya telah menghantar teks pesanan kepada puluhan wanita.

“Kami tidak menceritakan kisah sebuah negara lain. Kami menceritakan kisah tentang rakyat kami,” tambahnya.

Kempen penapisan Pakistan terhadap media yang kononnya tidak sopan semakin meningkat di bawah Perdana Menteri Imran Khan, seorang bekas bintang kriket yang merupakan seorang kaki perempuan pada masa lalu dan cuba mengambil hati golongan konservatif yang berpengaruh serta para pengundi yang warak.

“Masalahnya ialah kita tidak dapat mentakrif ketidaksopanan. Ia mempunyai definisi yang sama sekali berbeza bagi pelbagai segmen dalam populasi,” rungut Menteri Sains, Fawad Chaudhry, yang menentang larangan kerajaan dan berkata ia menjejaskan industri teknologi di negara itu.

Sejak beberapa bulan lalu, aplikasi berkenalan buatan asing seperti Tinder dan Grindr telah disekat dan YouTube telah diugut.

Terdapat “hakisan bagi jenis perkara yang kita boleh bincangkan”, kata pembuat filem Hasan Zaidi, bekas ketua Festival Filem Karachi.

“Saluran dan ruang yang ada bagi kreativiti benar-benar sudah mengecut di Pakistan,” katanya.

Bintang siri Bano menambah dia faham bahawa ia “tidak menyenangkan” bagi rakyat Pakistan untuk melihat kecelaan dalam masyarakat mereka sendiri tetapi berkata naratif hiburan memberi peluang kepada audiens untuk membuat renungan.

“Disebabkan oleh budaya larangan ini, banyak masalah yang disapu di bawah hamparan,” katanya. — AFP

Advertisement