Anda di sini

Bomba Sarawak siap sedia hadapi banjir

Advertisement
Khirudin menunjukkan risalah yang akan diedarkan kepada orang ramai di kawasan kerap banjir pada sidang media, hari ini. 
Khirudin menunjukkan risalah yang akan diedarkan kepada orang ramai di kawasan kerap banjir pada sidang media, hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak siap sedia menghadapi kemungkinan banjir disebabkan angin pusaran Monsun Timur Laut yang bermula bulan ini hingga Mac 2021.

Menurut Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman dipercayai juga kawasan barat negeri ini iaitu Sebuyau, Simunjan, Serian, Samarahan dan Siburan dan sekitar kawasan pantai akan mengalami banjir akibat air pasang besar.

"Bahagian utara iaitu Lawas, Limbang, Miri dan Lembah Baram tidak mengalami banjir setakat ini serta mengalami cuaca kering dan orang ramai tidak perlu khuatir kerana aset kita mencukupi untuk dikerahkan dengan lebih efisien," katanya ketika sidang media di ibu pejabat JBPM Sarawak, hari ini. 

Kerahan anggota yang berupaya membantu pihaknya dalam membuat pemantauan, operasi menyelamat dan memberi maklumat terdiri daripada Pegawai Sepenuh Masa (PSM) seramai 1,194 orang.

Anggota bomba menunjukkan antara peralatan yang terdapat di dalam bot menyelamat, hari ini.
Anggota bomba menunjukkan antara peralatan yang terdapat di dalam bot menyelamat, hari ini.

Katanya, pihaknya turut dibantu Pegawai Bomba Bantuan (PBB) seramai 230 orang, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) 2,259 orang, Bomba Komuniti 7,453 orang, Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) 10,107 orang dan peserta Summer Camp 820 orang.

Bagaimanapun tegasnya dalam waktu sukar ini, kerjasama komuniti dan orang ramai amat diperlukan bagi pihaknya menjalankan perkhidmatan dengan lebih baik lagi.

Sementara itu, angin pusaran monsun timur laut yang melanda Vietnam dan Filipina telah menjejaskan teruk keadaan di kedua-dua buah negara manakala Sarawak hanya mengalami sedikit tempias daripada ekor pusaran angin monsun tersebut.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri bakal menyaksikan pertambahan daripada jumlah 621 buah pada tahun 2019.

Kekuatan aset jentera pihaknya pula di Balai Bomba dan Penyelamat kawasan Kuching, Sibu dan Miri terdiri daripada lori (16 unit), kenderaan utiliti pacuan empat roda (67 unit), bot penyelamat (45 unit), helikopter (1 unit).

Kesemua operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir akan dijalankan mengikut ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

"Setiap bot menyelamat akan disediakan pelitup muka dan pensanitasi tangan serta bilangan penumpang akan dikurangkan untuk mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa," ujarnya lagi.

Beliau pada masa yang sama turut menyuarakan rasa bimbang pihaknya terhadap isu keselamatan di air yang memerlukan perhatian khusus kerana sehingga semalam pihaknya telah menerima seramai 32 kes, melibatkan kes lemas di sungai, pantai, tasik, lombong, air terjun atau jeram.

Sarawak juga memerlukan 54 balai bomba di seluruh negeri bagi menyediakan liputan perkhidmatan yang menyeluruh dan sehingga awal tahun depan sebanyak lima balai Bomba akan siap dibina, kata Khirudin.

Setakat ini, Sarawak hanya mempunyai 34 balai bomba di seluruh negeri dan pembinaan balai dan tanggungan operasi banyak bergantung kepada keupayaan peruntukan yang diberikan kerajaan.
 

  • oleh
  • Advertisement