Anda di sini

AS tambah 1 juta kes dalam seminggu

Advertisement
 Amaran mengenai pematuhan SOP COVID-19 dipaparkan di pintu masuk Stadium Hard Rock di Miami Gardens, Florida kelmarin. — Gambar AFP
BERLELUASA: Amaran mengenai pematuhan SOP COVID-19 dipaparkan di pintu masuk Stadium Hard Rock di Miami Gardens, Florida kelmarin. — Gambar AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) telah melepasi 11 juta kes jangkitan koronavirus COVID-19 kelmarin, menambah satu juta kes baharu dalam tempoh kurang daripada seminggu, menurut kepada catatan oleh Universiti Johns Hopkins.

Peningkatan yang membimbangkan itu muncul ketika bandar dan negeri di sekitar AS telah melaksanakan sekatan baharu bagi menghentikan penyebaran virus, dengan arahan duduk di rumah dilaksanakan di Chicago semalam.

AS telah melepasi 10 juta kes pada 9 November lalu dan setakat jam 8.30 malam waktu tempatan kelmarin, hanya enam hari kemudian, pengesan waktu sebenar Universiti Johns Hopkins menunjukkan jumlah kes yang disahkan mencecah 11,025,046.

Sejumlah 246,108 kematian berkaitan COVID-19 juga telah dilaporkan setakat ini.

Kedua-duanya adalah angka tertinggi di dunia dalam bentuk mutlak.

AS telah menyaksikan penambahan yang membimbangkan bagi kes koronavirus sejak bermulanya November, memaksa pegawai tempatan dan negara dari pantai ke pantai untuk mengambil langkah yang lebih drastik bagi mengurangkan penyebaran penyakit itu, dengan banyak hospital telah memberikan amaran bahawa mereka telah kekurangan sumber.

Sebagai tambahan kepada arahan duduk di rumah di Chicago, bandar ketiga paling besar di negara itu.

New York, pusat utama wabak musim panas, turut berusaha untuk membendung gelombang kedua dengan sekatan baharu terhadap bar dan restoran.

Sekolah-sekolah di New York terus dibuka semalam, walaupun Datuk Bandar Kota New York Bill de Blasio telah memberikan amaran bahawa mereka akan menukar kepada pembelajaran berasingan sepenuhnya nanti.

Presiden Donald Trump berjanji pada Jumaat lepas bahawa rakyat pertama akan mula menerima vaksin dalam masa beberapa minggu sahaja, namun menyatakan beliau masih membantah dengan tegasnya untuk kawalan pergerakan baharu, satu langkah yang diambil di Eropah di mana kes di sana juga semakin meningkat.

Semakin menyukarkan keadaan adalah keengganan Trump untuk bekerjasama dalam pertukaran kepada pentadbiran presiden bakal dilantik Joe Biden, menafikan ahli Demokrat itu pembiayaan persekutuan bagi urusan peralihan dan taklimat penting pegawai yang lain.

Pihak Demokrat dan ketua kakitangan untuk Biden menyatakan ini hanya akan memberikan impak yang menjejaskan terhadap kemampuan beliau berdepan dengan cabaran yang lebih teruk dan bertambah berpunca daripada pandemik koronavirus sekiranya beliau terus memegang jawatannya.

Biden dan pasukannya kini malahan tidak dibenarkan berbincang dengan pakar-pakar seperti pakar imunologi kerajaan Anthony Fauci, yang masih merupakan sebahagian pasukan petugas COVID-19 Rumah Putih.

“Sudah pasti keadaan akan menjadi lebih baik sekiranya perbincangan sebegini dapat bermula,” Fauci memberitahu CNN kelmarin, menjelaskan bahawa virus dapat membunuh puluhan ribu lagi rakyat AS apabila Biden memegang jawatannya pada 20 Januari. — AFP

Advertisement