Anda di sini

Sempadan Tunisia-Libya dibuka semula

Advertisement
 Kereta dari Tunisia merentasi sempadan ke Libya melalui pos sempadan Ras Jedir kelmarin. — Gambar AFP
DIBUKA SEMULA: Kereta dari Tunisia merentasi sempadan ke Libya melalui pos sempadan Ras Jedir kelmarin. — Gambar AFP

RAS JEDIR: Pelawat mula merentasi Tunisia dan Libya sekali lagi kelmarin selepas penutupan sempadan selama tujuh bulan ekoran sekatan novel koronavirus COVID-19 ditarik balik.

Penutupan sempadan pada penghujung Mac memberikan kesan buruk terhadap dagangan di antara kedua-dua negara dan menyebabkan rakyat Libya dan Tunisia terkandas di antara kedua-dua bahagian sempadan.

Di bahagian sempadan Libya, beberapa kereta menunggu untuk merentasi ke Tunisia sementara beberapa orang, menarik bagasi mereka, berjalan ke sempadan sebelah.

Pihak polis sempadan memeriksa pengenalan diri pelawat dan memastikan mereka membawa keputusan ujian negatif COVID-19, kata koresponden AFP.

Ramai rakyat Tunisia pergi ke Libya untuk bekerja, sementara rakyat Libya sering kali pergi ke Tunisia bagi rawatan perubatan.

“Kami akan mengutamakan mereka yang sakit dan orang yang mempunyai kes khas,” Abu Rabih Malkhuf, ketua keselamatan di bahagian sempadan Libya, memberitahu AFP.

“Terdapat satu protokol khas yang harus dipatuhi, dan langkah-langkah perlindungan akan diambil, seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial,” tambah beliau.

Penduduk Tripoli Ahmad Moftah menunggu dalam keadaan tidak sabar bagi gilirannya untuk memasuki Tunisia, di mana menyatakan dia berharap untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Penutupan sempadan adalah terlalu panjang,” tambahnya.

Para pekerja kesihatan memakai pelitup muka dan pakaian perlindungan peribadi berwarna biru berkumpul dengan peralatan sanitasi.

“Kerja di kawasan lintasan akan diteruskan sepanjang hari.

“Para pekerja telah dilatih untuk mensanitasikan penumpang, kereta dan trak,” Hassan al-Gomati dari pasukan petugas pandemik Libya berkata.

Tunisia telah menutup sempadannya dengan Libya pada Mac sebagai sebahagian langkah-langkah untuk mengawal penyebaran pandemik novel koronavirus.

Pada April, lebih 600 rakyat Tunisia yang terkandas di negara jiran Afrika Utara itu kembali semula ke tanah air selepas tiba di sempadan beramai-ramai, dengan pengawal sempadan Tunisia membenarkan mereka melepasinya.

Seorang sumber diplomatik Tunisia menyatakan kini terdapat 20,000 rakyat Tunisia di Libya.

Beberapa pelawat mula merentasi dari Tunisia ke Libya apabila sempadan dibuka tengah hari kelmarin, sementara beberapa trak membawa barang-barang menunggu giliran mereka, menurut seorang koresponden AFP

Dagangan tidak rasmi di antara kedua-dua negara menanggung beribu-ribu keluarga di selatan Tunisia.

Perhubungan udara dijangka diteruskan semalam, kata pihak berkuasa Libya dan Tunisia.

Tunisia membuka semula sempadannya pada penghujung Jun lalu, membenarkan perjalanan dari Eropah ketika musim pelancong, namun menutupnya kepada negara jiran Libya dan Algeria. — AFP

Advertisement