Anda di sini

Poovaa pertaruhkan ‘Karya’ untuk tembusi pasaran muzik Melayu

Advertisement
 

PERNAH dipuji oleh penyanyi lagenda antarabangsa Michael Bolton kerana bersuara emas dan mempunyai bakat muzik yang kuat terutamanya dalam bidang nyanyian, Poovaa, bukanlah seorang pendatang baru dan telah pun berkecimpung dalam industri muzik Malaysia sejak sedekad yang lalu.

Kini, Poovaa kembali mempertaruhkan bakat nyanyian dan nasib untuk menembusi pasaran tempatan dengan single ‘Karya’ yang telah dicipta dan digubahkan khas oleh komposer terkenal iaitu Omar K, Shazee Ishak dan Firdaus Ishak.

Menurut Poova, ‘Karya’ menceritakan tentang sebuah kisah cinta yang di mana permulaannya semua indah belaka tanpa sebarang persengketaan kemudian berakhir dengan kesedihan.

“Setiap daripada kita ingin mengecapi kebahagiaan akan tetapi banyak permasalahan yang berlaku, ketidakbahagiaan yang berpanjangan tanpa persefahaman akhirnya menjurus kepada perpisahan.

“Akan tetapi, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya di mana kita harus kuat untuk meneruskan kehidupan dan hari-hari mendatang, semoga ia menjadi pemangkin untuk meneruskan kehidupan tanpa menoleh kebelakang lagi,” katanya.

Jelas Poova, dia akhirnya memberanikan diri setelah hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara untuk menghasilkan single Melayu pertama bagi menembusi pasaran tempatan dan ‘Karya’ merupakan percaturan untuknya mengembangkan bakat yang sedia ada.

Untuk makluman semua, album pertama dalam Bahasa Inggeris yang berjudul ‘Ticket To Faketown’ melonjakkan nama Poovaa di mana beliau memenangi kategori Artis Baru Terbaik di AIM 2014 dan nama Poovaa mula dikenali ramai.

Lagu ‘Karya’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer manakala video muzik lagu ‘Karya’ boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube I am Poovaa.

Advertisement