Anda di sini

Penganggur didenda RM5,000 buang bayi ke dalam longkang 

Advertisement
Tertuduh semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.
Tertuduh semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.

KUCHING: Seorang penganggur wanita yang mengaku bersalah atas tuduhan menyembunyikan kelahiran anak perempuannya, dengan cara membuang bayi tersebut ke dalam longkang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Zaiton Anuar menetapkan demikian terhadap Afiqah Azman, 20, setelah mendengar laporan sosial dan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pegawai JKM mengesorkan kepada mahkamah agar tertuduh dijatuhkan hukuman denda berikutan usia tertuduh kini hampir melebihi 21 tahun, selain mengambil kira kepentingan awam, fakta kes dan rayuan pengurangan hukuman tertuduh.

"Justeru, mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM5,000 atau sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar," ujar Zaiton ketika menjatuhkan hukum. 

Terdahulu sebelum menjatuhkan hukuman, Zaiton menasihati tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan depan.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuang bayi ke dalam longkang dengan tujuan untuk menyembunyikan kelahiran anak yang baharu dilahirkan, antara pukul 7 petang hingga 12 tengah malam pada 18 Januari lalu, bertempat di Bandar Baru Semariang. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pergi ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami pendarahan.

Doktor yang bertugas membuat pemeriksaan ke atas tertuduh dan mendapati dia mengalami pendarahan teruk, selain mempunyai tanda-tanda melahirkan anak dan terdapat kesan koyakan di bahagian kelamin.

Justeru, doktor berkenaan mengesyaki tertuduh melahirkan anak, namun tertuduh menafikan dan enggan memberitahu apa-apa tentang kelahiran tersebut.

Hasil pemeriksaan juga mendapati yang asid deoksiribonukleik (DNA) bayi tersebut adalah sepadan dengan tertuduh. 

Dalam pada itu, tertuduh dalam rayuan pengurangan hukumannya menangis dan memohon dikenakan denda minimum kerana menyesali perbuatannya. 

Ibu tertuduh yang hadir turut memaklumkan mahkamah bahawa anaknya kini (tertuduh) mula menunjukkan perubahan sikap dan menolongnya mencari nafkah dengan menjual kuih. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement