Anda di sini

Lebih 75 peratus lampu isyarat di Kuching jadi lampu isyarat pintar

Advertisement

KUCHING: Lebih 75 peratus lampu isyarat di Kuching akan menjadi lampu isyarat pintar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Menurut beliau, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) memulakan projek perintis lampu isyarat pintar pada 2017 di 10 lokasi termasuk Jalan Batu Kawa untuk mengurangkan masalah lalu lintas.

“Oleh kerana kesannya memberangsangkan, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memasukkan lampu isyarat sebagai sebahagian daripada projek Bandar Pintar yang lebih besar.

“Menjelang 2021, lebih daripada 75 peratus lampu lalu lintas di Kuching akan menjadi lampu isyarat pintar,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau kelmarin.

Beliau memberitahu, data pergerakan lalu lintas tidak hanya disediakan untuk pihak berkuasa tempatan bahkan juga membantu masyarakat dalam pengurusan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan penggunaan lampu isyarat pintar menggunakan perisian SCATS (Sydney Coordinated Adaptive Traffic System).

Katanya, sebanyak 72 isyarat lalu lintas menggunakan SCATS sedang dilaksanakan di persimpangan jalan bagi kenderaan dan pejalan kaki di negeri ini.

Advertisement