Anda di sini

Guna dokumen palsu, bekas pembantu pegawai tadbir kewangan didenda RM32,000

Advertisement
Tertuduh (kiri) selesai prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh (kiri) setelah selesai prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

KUCHING: Seorang bekas pembantu pegawai tadbir kewangan didenda RM32,000 di Mahkamah Sesyen sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas sepuluh tuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan wang berjumlah RM45,000 bagi program Biro Tatanegara Sarawak pada 2016.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong juga menetapkan tertuduh Abang Sapawi @ Abang Sepawie Abg Nor, 57, yang kini merupakan seorang pesara, dipenjara sepuluh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Tertuduh dilaporkan membayar denda itu. 

Mengikut kesemua pertuduhan alternatif, tertuduh didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu sepuluh baucar bayaran bagi menuntut bekalan makanan untuk Program Bersama Ketua Pengarah dan Program Cinta Negara secara berperingkat pada tahun 2016 di pejabatnya di Jalan Sultan Tengah di sini. 

Program tersebut dijadualkan berlangsung pada tahun yang sama di beberapa tempat seperti di Dewan Serbaguna Senayang Kota Samarahan, Dewan Masyarakat Layar Betong, Dewan Serbaguna Kemas Limbang dan di Dewan Masyarakat Limbang.

Namun, hasil siasatan mendapati bahawa tiada makanan dibekal untuk program tersebut. 

Malah, seorang pegawai tadbir yang bekerja di Pejabat Daerah Samarahan juga mengesahkan bahawa tiada Dewan Serbaguna Senayang di Kota Samarahan.

Justeru, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut pertuduhan altenatif di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dalam rayuan pengurangan hukumannya memohon agar dikenakan denda berikutan dia kini menanggung seorang isteri dan seorang anak lelaki yang sedang menjalani rawatan mental.

Tertuduh juga memaklumkan mahkamah bahawa ini merupakan kesalahan pertamanya dan dia kini bergantung harap kepada duit pencen untuk menyara keluarganya. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nur Nisla Abd Latif bersama Pegawai Pendakwa, Ikhwan Ibrahim dan Miller Jawoi. 

  • oleh
  • Advertisement