Anda di sini

Dron wajar diguna dalam operasi kebombaan

Advertisement
 Imej menunjukkan kedudukan mangsa (dalam bulatan) yang dilaporkan hilang, berjaya dijumpai melalui pencarian udara menggunakan dron.
FAEDAH TEKNOLOGI: Imej menunjukkan kedudukan mangsa (dalam bulatan) yang dilaporkan hilang, berjaya dijumpai melalui pencarian udara menggunakan dron.

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri mencadangkan agar dron digunakan sebagai salah satu peralatan yang digunakan dalam operasi kebombaan.

Ketua Zonnya Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, penggunaan dron merupakan satu idea yang bagus bukan sahaja digunakan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) kes orang hilang malah dapat juga digunakan untuk operasi menangani kebakaran belukar yang saban tahun berlaku di daerah ini.

“Sekarang banyak agensi ada dron untuk cari punca kebakaran seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei dan syarikat Naim.

“Memang dah dicadangkan (penggunaan dron dalam operasi kebombaan) dan ia idea yang bagus untuk operasi-operasi lain,” katanya di sini semalam.

Sementara itu Law berkata, dron pertama kali digunakan dalam operasi SAR seorang lelaki yang hilang di kawasan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berdekatan simpang Kampung Long Jengan Tinjar, Baram kelmarin.

“Ini suatu kebetulan yang di luar jangka kerana berlaku orang hilang berdekatan paip (SSGP) dan penggunaan dron adalah yang pertama kali digunakan untuk operasi SAR.

“Jika tiada kemudahan dron, saya percaya operasi SAR ini akan berpanjangan kerana mangsa hilang tanpa diketahui kedudukannya. Dengan adanya dron, radius pencarian adalah besar dan dapat dilihat dari atas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Law turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan juruteknik petronas SSGP yang membantu operasi SAR menggunakan dron.

  • oleh
  • Advertisement