Anda di sini

10 pesakit mati dalam wad ICU COVID-19 hospital Romania

Advertisement
 Anggota perkhidmatan kecemasan bertungkus lumus di tempat kejadian di Piatra Neamt, kelmarin. — Gambar AFP
TRAGEDI: Anggota perkhidmatan kecemasan bertungkus lumus di tempat kejadian di Piatra Neamt, kelmarin. — Gambar AFP

BUCHAREST: Sepuluh pesakit COVID-19 terkorban manakala beberapa orang lagi dalam keadaan kritikal selepas satu kebakaran berlaku di sebuah unit rawatan rapi di timur laut Romania kelmarin, kata jurucakap hospital.

Kebakaran berlaku pada awal petang di unit intensif hospital berkenaan di pekan Piatra Neamt.

Kebakaran bagaimanapun dapat dikawal kira-kira sejam kemudian oleh pihak perkhidmatan kecemasan.

“Sepuluh orang telah disahkan meninggal dunia dan tujuh orang lagi berada dalam keadaan kritikal termasuk seorang doktor,” menurut jurucakap hospital Irina Popa.

Lapan mangsa maut dalam kebakaran itu dan dua lagi telah disahkan mati selepas dipindahkan.

Doktor bertugas yang cuba membantu mangsa mengalami kelecuran peringkat kedua dan ketiga pada 80 peratus badannya, menurut pihak perkhidmatan penyelamat.

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan pendakwa raya umum membuka satu siasatan mengenai tragedi tersebut.

Pihak kementerian kesihatan mencadangkan kebakaran mungkin telah berpunca daripada masalah litar pintas.

Pentadbir tempatan telah menubuhkan sel krisis dan Menteri Kesihatan Nelu Tataru dijangka melawat tempat kejadian.

Sebahagian besar mangsa jangkitan COVID-19 terselamat ketika gelombang pertama koronavirus melanda Eropah.

Romania sejak beberapa minggu kebelakangan ini melihat peningkatan jumlah kes dan pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Pada Sabtu lepas ia melaporkan 129 kematian baharu akibat virus tersebut, menjadikan jumlah kematian kepada 8,813 sejak bermula pandemik.

Negara yang mempunyai 19 juta penduduk itu merupakan salah satu negara termiskin dalam Kesatuan Eropah dan kurang kelengkapan bagi menangani peningkatan kes-kes di hospital.

Sistem kesihatannya mundur akibat kekurangan teruk para doktor terutama di pekan-pekan kecil.

Ia merupakan kebakaran paling teruk di Romania sejak Oktober 2015, ketika satu pameran piroteknik mencetuskan kebakaran di sebuah kelab malam di Bucharest yang menyebabkan 64 orang terbunuh. — AFP

Advertisement