Anda di sini

Kawalan pergerakan bendung penularan COVID-19

Advertisement
 PPR Taman Murni.
PERUMAHAN: PPR Taman Murni.

... Persatuan Penduduk PPR Taman Murni tubuh pasukan sukarela

PERSATUAN Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni Batu 7, Sandakan telah menubuhkan pasukan sukarela bagi membuat kawalan pergerakan penduduk dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

Kawalan pergerakan penduduk itu dijalankan melalui pintu utama taman perumahan berkenaan untuk memastikan penduduk mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negera (MKN).

Pasukan sukarela itu yang terdiri daripada 48 orang penduduk termasuk lapan wanita turut mengawal kehadiran orang luar bagi memasuki PPR itu dalam usaha membendung penularan wabak berkenaan.

AMIR HAMZAH
AMIR HAMZAH

Semasa PKP dilaksanakan sejak Mac lepas, pasukan sukarelawan ini juga membuat rondaan bagi memastikan penduduk tidak keluar pada waktu malam tanpa sebab yang munasabah.

Persatuan penduduk ini telah membuat kawalan untuk kali kedua selepas kerajaan mengumumkan PKPB pada 13 Oktober lepas untuk negeri Sabah yang sepatutnya ditamatkan pada 9 November ini telah dilanjutkan sehingga 6 Disember depan.

Sebelum ini, persatuan ini telah membuat kawalan pertama kali selepas kerajaan menguatkuasakan PKP pada 18 Mac hingga 3 Mei dan PKPB (4 Mei hingga 9 Jun) sebelum menutup kawalan di pintu masuk PPR itu pada 10 Jun lepas.    

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin menyokong penuh langkah yang diambil oleh pihak Persatuan Penduduk PPR Taman Murni yang mempunyai sikap tanggungjawab untuk sama-sama memutuskan penularan COVID-19.

 Petugas wanita yang membantu buat kawalan di pintu hadapan.
MEMBANTU: Petugas wanita yang membantu buat kawalan di pintu hadapan.

Mohd Azhar yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Sandakan turut sama turun meninjau kawalan yang dibuat oleh sukarelawan penduduk di PPR itu yang disifatkannya sebagai usaha bersama dalam membendung penularan wabak berkenaan.

Beliau berpesan kepada semua sukarelawan agar sentiasa menjaga kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dan PKPB semasa membuat kawalan di pintu masuk taman terbabit.

Mohd Azhar juga mengingatkan para penduduk agar duduk di rumah dan sentiasa mematuhi SOP dalam PKP dan PKPB pada setiap masa seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal.

Walaupun ini disifatkan sebagai salah satu norma baharu dalam kehidupan penduduk di PPR itu tetapi memberi manfaat yang baik kepada semua agar kesihatan lebih terjamin sekaligus untuk sama-sama membendung penularan COVID-19 yang semakin kian meningkat akhir-akhir ini.

ISKANDAR ISMAIL
ISKANDAR ISMAIL


INISIATIF BUAT KAWALAN KALI KEDUA

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Taman Murni, Amir Hamzah Zakaria berkata, inisiatif kali kedua membuat kawalan untuk memastikan penduduk taman itu mematuhi SOP selepas kerajaan mengumumkan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk beberapa lokasi bagi negeri Sabah.

Amir Hamzah berkata, inisiatif ini juga dibuat adalah atas rasa tanggungjawab bersama bagi memastikan penduduk di taman ini mematuhi arahan pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu kejadian PKPD di dua PPR di Sandakan iaitu Taman Harmoni dan Taman Mesra terjadi di Taman Murni.

"Kita juga tidak membenarkan mana-mana pihak yang bukan penduduk di taman ini untuk memasuki kawasan taman bagi membendung penularan wabak COVID-19," katanya yang mengetuai kawalan di pintu masuk taman berkenaan.

Beliau berkata, penduduk yang masuk akan diperiksa suhu badan bagi memastikan mereka sihat sebelum dibenarkan masuk.

"Petugas yang terdiri daripada penduduk di kawasan taman itu juga akan menjalani pemeriksaan suhu, sentiasa memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal semasa bertugas diamalkan untuk mengikut SOP yang ditetapkan pihak berkuasa dikuat kuasakan oleh pihak polis, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Jabatan Kesihatan.

"Saya sering memberi penekanan terhadap perkara penting itu agar mereka menjaga kesihatan dan sentiasa mengamalkan norma baharu kehidupan yang disarankan oleh pihak kerajaan," katanya.

RUSLAN TALIB
RUSLAN TALIB

Amir Hamzah menjelaskan langkah ini adalah usaha bersepadu bersama persatuan penduduk dengan Pengurusan Harta Amal Maju Sdn Bhd yang menyelia kawasan perumahan berkenaan susulan terdapat beberapa keluarga di PPR itu diarah menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin di daerah Sandakan.

Ekoran daripada itu, pihaknya juga telah meminta kebenaran dengan Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin dan pihak MPS sebelum membuat kawalan kali kedua berkenaan.

Sebelum ini, beliau memberitahu pihaknya telah mengadakan kawalan yang sama semasa negara dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana dilawati oleh Mohd Azhar selaku Ketua Polis Daerah Sandakan.

Amir Hamzah berkata, Timbalan Presiden MPS Faridah Giau juga turut membuat tinjauan di pintu masuk taman yang dikawal oleh penduduk taman.

"Kita amat berterima kasih kepada pihak polis terutamanya Ketua Polis Daerah Sandakan, pihak MPS, Pengurusan Harta Amal Maju dan jawatankuasa persatuan penduduk serta ahli yang bekerjasama dalam memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin," katanya.  

Amir juga turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk PPR Taman Murni serta pihak individu dan pihak Ahli Parlimen Libaran yang menghulurkan sumbangan makanan, minuman dan peralatan (pelitup muka dan cecair pembasmi kuman) untuk petugas sukarela ini yang mana hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.

Beliau juga meminta penduduk agar sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada semua petugas dipintu hadapan taman demi keselamatan semua.

"Setelah lebih sebulan membuat kawalan di pintu masuk itu semula, kita bersyukur kepada Allah SWT…penduduk yang dikuarantin telah dibenarkan balik ke rumah setelah laporan mereka didapati negatif dan tiada lagi berlaku jangkitan baharu dikesan dikalangan penduduk," katanya.

Amir berkata, ini memperlihatkan usaha penduduk dalam membuat kawalan serta memberi kerjasama baik kepada pasukan sukarela bertugas di pintu masuk taman ini adalah satu usaha yang tidak sia-sia dalam membendung wabak berkenaan.


CABARAN SEBAGAI PASUKAN SUKARELAWAN

Dalam mengharumi pelbagai cabaran penularan wabak COVID-19 dalam tempoh PKPB, sikap cekal, tabah dan mengambil langkah berhati-hati diambil oleh pasukan sukarela PPR Taman Murni semasa membuat kawalan di pintu masuk utama di taman berkenaan.

Mungkin terdapat penduduk yang mengatakan tindakan membuat kawalan keluar masuk kenderaan untuk pemeriksaan hanya menyusahkan penduduk taman tetapi langkah itu lebih berkesan memutuskan penularan wabak COVID-19 yang mencatatkan angka tertinggi di Sabah termasuk daerah Sandakan.

Hanya individu yang berfikiran sempit dan cetek pengetahuannya sahaja yang mengatakan langkah diambil Persatuan Penduduk Taman Murni itu adalah tidak betul sedangkan tindakan berkenaan adalah untuk membantu pihak berwajib dan demi keselamatan kesihatan penduduk taman memutuskan rantaian jangkitan.

Seorang petugas pasukan sukarela COVID-19 Taman Murni, Iskandar Ismail berkata pelbagai cabaran diharungi semasa melaksanakan tugas kawalan di pintu masuk utama seperti penerimaan masyarakat terhadap langkah yang diambil oleh pihak persatuan.

NORLINAH NASAR
NORLINAH NASAR

"Ada penduduk yang tidak menerima langkah yang diambil oleh pihak kami dan ada juga penduduk yang mengucapkan terima kasih kepada kami sebagai pasukan sukarela yang dilihat mereka sebagai langkah terbaik memutuskan jangkitan COVID-19," katanya.

Iskandar memberitahu sepanjang bertugas sebagai pasukan sukarela di situ amat mencabar tetapi dengan adanya sikap prihatin demi keselamatan semua penduduk dan sikap ketegasan rata-rata penduduk mematuhi langkah dibuat oleh pasukan sukarela yang berpandukan arahan pihak berkuasa.

"Tidak dinafikan terdapat beberapa individu yang mempersoalkan tindakan kami membuat kawalan tetapi semua itu dapat ditangani dengan baik selepas memberi penjelasan secara terperinci," jelasnya.

Beliau berkata, faktor cuaca juga adalah satu cabaran tetapi itu telah menjadi kebiasaan bagi mereka kerana sebelum ini kawalan dalam tempoh PKP pernah dilalui dalam bulan Ramadan.

Iskandar berkata mereka sanggup berhujan dan berpanas untuk memastikan penduduk kekal patuh kepada undang-undang dibawah PKPB.

"Yang penting bagi kami sentiasa mengutamakan faktor keselamatan agar tidak dijangkiti masa menjalankan tugas dan mahu memastikan kesihatan keluarga serta penduduk sentiasa terjamin," katanya.

Iskandar juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk serta individu yang sentiasa bekerjasama semasa mereka berkawal dan menghulurkan sumbangan kepada petugas.

Bagi seorang lagi petugas, Nordin Jakkir memberitahu tiga cabaran yang terpaksa dilalui mereka masa bertugas sebagai anggota sukarela.

"Pertama adalah waktu bertugas terpaksa membahagikan masa dengan mencari rezeki, cabaran kedua iaitu penerimaan masyarakat yang dihadapi dengan pelbagai kerenah yang ada antara mereka tidak menerima apa yang dilakukan oleh kami. Tetapi rata-rata penduduk beri kerjasama baik dan ada juga yang bermurah hati dengan memberi sumbangan makanan dan minuman untuk petugas," katanya.

Nordin berkata, cabaran ketiga adalah kekurangan alat pelindung diri seperti pelitup muka, penutup muka, cecair pembasmi kuman dan pakaian pelindung diri yang terpaksa diusahakan dengan kerjasama semua petugas dan ada juga hasil sumbangan yang diterima daripada individu.  

"Bagi kami semua cabaran itu adalah satu kekuatan untuk kami lebih komitmen memutuskan jangkitan COVID-19 demi keselamatan keluarga dan warga Taman Murni," katanya.

Manakala, Ruslan Talib memberitahu amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai pasukan sukarela perlu didepani meskipun mereka sedar adalah individu yang paling berisiko untuk dijangkit COVID-19.

"Perkataan dan perasaan penat dan mudah dijangkit, mungkin kami kerap terfikir tetapi digagahi dengan amanah tugas untuk kepentingan penduduk agar tidak dijangkiti dan terus sihat adalah lagi penting," katanya.

Ruslan berkata, mereka sebagai petugas juga mengambil langkah berhati-hati dalam melaksanakan tugas sebagai sukarela dengan mematuhi SOP setiap masa.

Seorang lagi petugas, Kasmidi Kassim berkata, walaupun pelbagai cabaran dilalui sepanjang menjalankan tugas sukarela tidak terdetik pun hatinya untuk menarik diri sebagai anggota sukarela.

"Semangat untuk memastikan penduduk di taman itu bebas dari penularan COVID-19 tidak pernah pudar dan akan terus berkhidmat sebagai anggota sukarela," katanya.


PENDUDUK TAMAN MURNI BERTERIMA KASIH

Penduduk PPR Taman Murni amat bertuah memiliki pasukan sukarela COVID-19 yang sanggup berada di barisan hadapan ketika negara berhadapan krisis dan ancaman wabak COVID-19.

Pasukan sukarela ini merupakan satu-satunya di negeri Sabah yang membuat kawalan sendiri di jalan masuk utama taman perumahan mereka dalam tempoh PKPB.  

Seorang penduduk, Mohd Gahrain Pg Haji Guah amat berterima kasih kepada pasukan sukarela Taman Murni yang begitu komitmen bagi memastikan kesihatan penduduk terjamin dengan terhindar dari jangkitan penularan COVID-19.

Beliau memberitahu beberapa penduduk di taman ini juga telah di kuarantin di pusat kuarantin di daerah ini.

"Dan setelah mereka membuat kawalan di pintu utama taman bagi menghalang orang luar untuk memasuki taman perumahan, tiada lagi penduduk disyaki dijangkiti wabak COVID-19 di taman ini," katanya.

Mohd Gahrain mengucapkan setinggi terima kasih kepada pasukan sukarela ini yang sanggup berhadapan pelbagai rintangan dan cabaran untuk memutuskan penularan jangkitan COVID-19.

Beliau meminta semua pihak terutamanya penduduk di taman ini agar memberi kerjasama demi kebaikan bersama.

Seorang lagi penduduk, Norlinah Nasar amat berterima kasih kepada Persatuan Penduduk PPR Taman Murni yang diketuai oleh Amir Hamzah mewujudkan pasukan sukarela COVID-19 bagi membuat kawalan di pintu masuk taman membendung penularan wabak COVID-19.

"Pengorbanan dan usaha pasukan sukarela ini bagi memastikan penduduk di Taman Murni tidak dijangkiti COVID-19 amat kami hargai," katanya.

Norlinah berkata, sebagai menghargai pengorbanan pasukan sukarela Taman Murni ini, dia dan rakan-rakan menghulurkan sumbangan makanan serta memberi kerjasama baik kepada petugas berkawal.

Beliau juga bersama beberapa orang rakan turut sama membantu dalam apa juga keperluan yang diperlukan oleh petugas.

 Mohd Azhar meninjau kawalan yang dibuat oleh pasukan sukarela PPR Taman Murni.
MELAWAT: Mohd Azhar meninjau kawalan yang dibuat oleh pasukan sukarela PPR Taman Murni.

Sementara itu, Tahir Liantang berkata, sebagai penduduk sewajarnya mengucapkan terima kasih kepada pasukan sukarela ini yang melakukan pengorbanan besar dengan bertungkus lumus dan berpanas serta berhujan bagi memastikan kesejahteraan penduduk di taman ini.

"Usaha serta pengorbanan mereka ini adalah amat mulia kerana pasukan sukarela ini mahu memastikan penduduk taman bebas dari wabak COVID-19 yang kian meningkat," katanya.

Tahir mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pasukan sukarela berkenaan yang bertugas tanpa bergaji demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk taman.

  • oleh
  • Advertisement