Anda di sini

Sindiket penipuan SMS: Enam lagi individu direman

Advertisement
 Enam lagi individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS), menjadikan keseluruhan 12 individu direman berhubung kes itu setakat ini. — Gambar Bernama
DIREMAN: Enam lagi individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS), menjadikan keseluruhan 12 individu direman berhubung kes itu setakat ini. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Enam lagi individu termasuk pegawai syarikat telekomunikasi direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung kes rasuah membabitkan sindiket penipuan sistem pesanan ringkas (SMS), menjadikan 12 individu direman setakat ini berkaitan kes berkenaan.

Perintah reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 15 November, dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap lima lelaki dan seorang wanita yang berbaju jingga SPRM, selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini semalam.

Menurut sumber SPRM, enam individu berumur antara 34 tahun dan 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara jam 4.45 petang kelmarin dan 12.30 tengah malam kelmarin, selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber tersebut, mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan menda-patkan maklumat data peribadi pelanggan, yang menggunakan pelan prabayar.

“Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyelia kandungan dengan me-ngenakan bayaran langganan menerusi SMS, tanpa penge-tahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya.

Pada Selasa, tiga pengarah syarikat termasuk dua bergelar ‘Datuk’ direman lima hari sehingga 14 November berhubung kes sama, kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan, bagi tujuan penipuan berkenaan.

Kemudian seorang lagi pegawai syarikat telekomunikasi direman lima hari sehingga 15 November dan kelmarin, dua lagi individu termasuk seorang ketua pegawai teknologi sebuah syarikat telekomunikasi, direman lima hari sehingga 16 November.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. — Bernama

Advertisement