Anda di sini

Polis akan ambil tindakan tegas

Advertisement
HAZANI
HAZANI

... Jika berlaku demo pengeluaran KWSP: Hazani 

KOTA KINABALU: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan demonstrasi berkenaan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata meskipun buat masa ini belum ada sebarang laporan polis diterima, pihaknya sudah ambil maklum dengan isu ini dan polis bersiap sedia menjalankan sebarang tindakan selepas ini.

“Sekiranya betul ada perhimpunan dilakukan, polis akan berada di lokasi dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk memberikan kompaun, membuat tangkapan dan sebagainya kepada pihak terlibat.

“Setakat ini belum ada sebarang laporan tetapi polis tidak akan berdiam diri dan siasatan terperinci akan dilaksanakan kepada mana-mana pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai satu kenyataan yang ditularkan oleh pengguna media sosial Facebook dengan menggunakan nama ‘Pakdin’ yang menyeru orang ramai agar menyertai demonstrasi di hadapan pejabat KWSP di sini Isnin depan.

Tindakan kenyataan itu dipercayai sebagai menuntut pihak KWSP agar meluluskan pengeluaran wang simpanan daripada akaun satu KWSP bagi meringankan beban mereka yang terjejas semasa musim COVID-19.

Bagaimanapun, kenyataan itu turut mendapat maklum balas daripada beberapa pengguna facebook yang menyuarakan pendapat tidak setuju dengan cadangan berkenaan.

Salah seorang pengguna facebook berkata, tindakan berdemo ketika pandemik Covid-19 ini membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

Selain itu, ada juga yang menyatakan tindakan berkenaan tidak akan menguntungkan sesiapa.

Hazani menegaskan bahawa sebarang perhimpunan perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Polis amat mengambil perhatian terhadap cubaan berhimpun, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 yang amat membimbangkan ketika ini,” katanya.

Tambahnya  polis juga akan ambil tindakan terhadap pemilik akaun facebook yang membuat kenyataan di laman berkenaan.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan dan permohonan boleh dibuat mulai Januari 2021 dengan jumlah maksimum RM6,000.

KWSP bagaimanapun dalam kenyataan dikeluarkan baru-baru ini menjelaskan akan memberi jaminan keputusan memperhalusi dan menambah baik kemudahan pengeluaran tambahan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 adalah mengambil kira kepentingan pencarum dan bukannya atas tekanan politik.

  • oleh
  • Advertisement