Anda di sini

Siaran langsung ABPBH 33 norma baharu malam ini di TV3

Advertisement
 Pemenang penyanyi popular ABPBH32 Siti Nordiana dan Khai Bahar (kanan) antara yang mendahului undian ABPBH33.
KEMBALI LAGI: Pemenang penyanyi popular ABPBH32 Siti Nordiana dan Khai Bahar (kanan) antara yang mendahului undian ABPBH33.

MALAM kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33 yang akan dibawakan oleh penaja utama Xiaomi Malaysia dari Axiata Arena Bukit Jalil akan bersiaran secara langsung di saluran TV3 bermula jam 9.00 malam ini.

Selain di TV3, penonton juga dapat menonton acara anugerah ini secara dalam talian di Tonton, YouTube TV3 dan BH termasuk laman web ABPBH di www.abpbh.com.my. Buat julung kalinya juga, siaran langsung itu akan turut ditayangkan menerusi laman aplikasi TikTok.

Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, penganjuran kali ini akan diadakan secara maya bagi mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Sehubungan dengan itu, beberapa pendekatan baharu akan diperkenalkan dalam pengisian acara berpandukan syor Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk mengehadkan jumlah penyampai anugerah dan lebih penting, tiada elemen sentuhan seperti bersalaman dan memegang trofi antara pemenang dan penyampai anugerah di atas pentas.

Sesuai dengan penerapan norma baharu, trofi akan diletakkan di atas meja khas di mana pemenang akan mengambil sendiri piala apabila naik ke pentas sebelum memberi ucapan.

Seramai 10 calon pelbagai kategori diumumkan baru-baru ini telah mendahului undian sejak proses pencarian pemenang dilancarkan pada 7 Oktober lalu.

Mereka adalah Aiman Tino, Alif Satar, Nur Fazura, Haqiem Rusli, Haziq, Hun Haqeem, Khai Bahar, Sherry Alhadad, Siti Nordiana dan Zahiril Adzim.

Kumpulan artis ini merangkumi penyanyi, pelakon, penyampai radio dan pelawak, malah ada dalam kalangan mereka dianggap bintang versatil yang menguasai lebih daripada satu bidang.

Bagaimanapun, keputusan mutakhir siapa di antara mereka akan dinobatkan sebagai pemenang hanya akan diketahui pada malam ini.

Buat kali pertama juga, siaran langsung ABPBH 33 tidak akan dihadiri oleh penonton di lokasi acara bagi mengelak perhimpunan beramai-ramai termasuk kelab peminat.

Bagi memastikan penonton di rumah terhibur, mereka yang bertuah akan diundang secara virtual atau maya melalui aplikasi Zoom untuk menaikkan suasana di stadium.

Pengacara popular, penyanyi dan juga pelakon, Dato’ AC Mizal sekali lagi dijemput untuk mengacarakan pentas utama malam ini di mana beliau akan digandingkan dengan pelakon hebat dan juga pengacara yang tidak asing lagi iaitu Nabila Huda.

Selain itu, pentas ABPBH 33 bakal dihangatkan dengan persembahan duet dan berkumpulan, melibatkan gandingan bersama  Azlan Typewriter, Yonnyboii dan Zynakal; Faizal Tahir, Elly Mazlein, Syamel, Dolla dan Zizi Kirana; Ernie Zakri dan Hafiz Suip; Naim Daniel, Tuju dan Man Keedal; Aina Abdul, Indah Ruhaila, Tomok dan Lan Solo; pasangan adik-beradik Liza Aziz dan Azlina Aziz bersama Noki K-Clique.

Penyanyi baru, Yonnyboii turut muncul buat kali kedua berpasangan dengan Shalma Eliana mempersembahkan lagu tema Xiaomi Malaysia iaitu Xiaomi For Me!.

Sedikit kelainan turut diperkenalkan di atas pentas ABPBH 33 di mana sebuah sketsa komedi yang dijayakan oleh Khir Rahman, Joey Daud, Man, Nora Danish, Kaka Azraff dan Liza Abdullah.

Sementara itu, barisan penyampai trofi yang dipilih adalah dalam kalangan personaliti dan artis hebat yang memiliki reputasi tersendiri dalam setiap bidang diceburi. Mereka adalah Saiful Apek, Siti Nordiana, Shaheizy Sam, Zul Ariffin, Ramlah Ram, Wany Hasrita dan Dato’ Rosyam Nor.

Bagi segmen karpet merah pula, gandingan Sean Lee dan Sissy Imann pasti menghangatkan lagi liputan eksklusif dari lokasi acara berlangsung.

Malam kemuncak ABPBH 33 bakal menobatkan Bintang Paling Popular yang dipilih dalam kalangan calon Top 20 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan 13 kategori.

Tiga belas kategori itu adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori ‘online’ iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom Popular, Artis Kontroversi Popular dan FC #FANtastik Popular.

Advertisement