Anda di sini

Buaya sesat masuk longkang di Limbang terpaksa dimatikan akibat cedera serius - SFC

Advertisement
Pasukan bomba menangkap buaya berkenaan sebelum menyerahkan reptilia itu kepada SFC pada malam Selasa.
Pasukan bomba menangkap buaya berkenaan sebelum menyerahkan reptilia itu kepada SFC pada malam Selasa.

KUCHING: Buaya seberat 800 kilogram yang dijumpai sesat di dalam longkang di belakang sebuah sekolah di Limbang terpaksa dimatikan kerana mengalami kecederaan teruk akibat ditembak orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) melahirkan perasaan hampa terhadap kurangnya kesedaran masyarakat kerana membunuh spesies terlindung di negeri ini.

Beliau yang juga merupakan Kontroler Hidupan Liar SFC berkata, buaya yang dijumpai di dalam longkang tidak sepatutnya dibunuh seperti termaktub di dalam Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998.

"Mereka harus memastikan buaya berkenaan tidak melarikan diri dan seterusnya melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Pihak kami tidak mahu ia menjadi kebiasaan di mana orang ramai akan membunuh spesies yang dilindungi dan melaporkannya sebagai membahayakan nyawa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pihak SFC turut mengingatkan orang ramai yang tinggal berhampiran sungai untuk sentiasa berwaspada tidak mengambil tindakan sendiri kerana reptilia ini merbahaya.

Pada Selasa, Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC Miri yang dikerahkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada pihak Bomba, mendapati buaya itu telah ditembak dan tercedera.

Reptilia berkenaan dimatikan dan ditanam di dalam sebuah lokasi yang tidak dinamakan.

Sampel haiwan berkenaan juga diambil untuk siasatan lanjut dan rangkanya akan dikumpul selepas buaya berkenaan mulai mereput.

SFC sedang menjalankan siasatan terhadap kejadian menembak buaya berkenaan.

Orang ramai digalakkan untuk melaporkan kejadian sedemikian ke pejabat SFC terdekat ke  talian hotline SFC di 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu) atau 019-8290994 (Miri).

Haiwan terlindung di Sarawak.
  • oleh
  • Advertisement