Anda di sini

Taska, tadika di daerah Kuching kekal ditutup - Uggah

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan Taman Didikan Kanak-kanak (tadika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di Zon Merah COVID-19 iaitu daerah Kuching kekal ditutup.

Pengerusinya yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan untuk menutup sementara operasi taska dan tadika di daerah Kuching berikutan keadaan semasa COVID-19 yang belum stabil di daerah tersebut.

"Pagi tadi kita telah berbincang mengenai perkara ini, keadaan di Kuching kita lihat (keadaan penularan wabak COVID-19) masih tidak berapa stabil.

"Kita dapat saksikan taburan kes baharu positif ini tidak tertumpu kepada sesuatu kawasan, jadi kita khuatir ia boleh merebak ke taska dan tabika.

"Sebab itu kita memutuskan untuk menutup sementara operasi taska dan tadika di daerah Kuching," katanya pada sidang media harian COVID-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Malah, jelas Uggah, kes baharu positif COVID-19 hari ini di daerah Kuching juga melibatkan kanak-kanak.

"Jadi kita masih meminta untuk tadika dan taska ditutup di kawasan daerah Kuching," katanya sambil menambah pihaknya terpaksa menolak permohonan meskipun terdapat permintaan untuk membuka operasi taska dan tadika di Kuching.

Tegas beliau, JPBNS hanya akan membenarkan taska dan tadika dibuka di zon hijau sahaja.

"Kita tunggu keadaan betul-betul stabil," ujarnya.

Pada Rabu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK)  Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) iaitu tadika dan taska di zon merah COVID-19 iaitu daerah Kuching dibenarkan beroperasi semula dengan syarat harus memohon kebenaran daripada kementeriannya. 

Malah, katanya, bagi bahagian-bahagian lain yang tidak dikategorikan sebagai zon merah COVID-19, tadika dan taska boleh beroperasi berkuat kuasa serta merta.

Pada 29 Oktober 2020, JBPNS telah memutuskan semua IPAKK di daerah Kuching yang dikategorikan sebagai zon merah COVID-9 ditutup berkuat kuasa 30 Oktober hingga 13 November 2020.

  • oleh
  • Advertisement