Anda di sini

Kunjungan singkat ke Muzium Balaputra Dewa di Palembang

Advertisement
Palembang adalah bandar tertua di Indonesia, dan menjadi ibukota Kerajaan Srwijaya pada 16 Jun 682 masehi. Kini Palembang adalah ibu negeri wilayah Sumatera Selatan.
"Palembang adalah bandar tertua di Indonesia, dan menjadi ibukota Kerajaan Srwijaya pada 16 Jun 682 masehi. Kini Palembang adalah ibu negeri wilayah Sumatera Selatan"
 Penulis bergambar berlatarkan Rumah Limas.
RUMAH TRADISI: Penulis bergambar berlatarkan Rumah Limas.

SEBUT nama palembang, kita akan segera teringat Parameswara. Menurut sahibul hikayat, Parameswara yang membuka negeri Melaka pada abad ke-15 itu berasal dari Palembang. 

Palembang adalah bandar tertua di Indonesia, dan menjadi ibukota Kerajaan Srwijaya pada 16 Jun 682 masehi. Kini Palembang adalah ibu negeri wilayah Sumatera Selatan.

Kota Palembang yang terkenal sebagai destinasi pelancongan itu turut dijuluki sebagai Venice of The East. Tetapi ketika berkunjung ke sana, tidak lama dulu, antara yang paling mengesankan adalah kunjungan ke Kampung Wisata Al Munawar, Kampung Kapitan, Pulau Kemaro Jambatan Ampera, Sungai Musi dan sudah tentu pempek kapal selam.

 Rumah tradisi Palembang dilihat dari depan.
RUMAH LIMAS: Rumah tradisi Palembang dilihat dari depan.
 Pandangan dari depan Muzium Balaputra Dewa.
LENGKAP: Pandangan dari depan Muzium Balaputra Dewa.

Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di Palembang. Bagi seorang pencinta sejarah seperti saya, pilihan tempat yang menarik jika berkunjung ke sesuatu tempat, pastinya-muzium.

Salah satu muzium yang terkenal di Palembang adalah Museum Balaputra Dewa, Muzium Negeri Provinsi Sumatera Selatan.

Muzium etnografi yang terletak di kilometer 5,5 tepatnya di jalan Srijaya Negara I no. 288, Palembang Sumatera Selatan diberi nama Balaputra Dewa, sempena nama Raja Sriwijaya abad ke-9. Muzium itu dibina pada tahun 1978 dan mula beroperasi secara rasmi pada 5 November 2004.

Di kawasan seluas 23,565 meter persegi, muzium yang memiliki koleksi kira-kira 8,800 benda bersejarah. Bukan itu saja, di bahagian belakang banguan ruang pameran muzium, pengunjung berpeluang melihat rumah limas, sebuah bangunan yang menjadi tempat tinggal khas masyarakat Melayu Palembang yang diperbuat dari kayu dan kini sudah berusia kira-kira 200 tahun.

Rumah limas itu dibina kira-kira tahun 1836 dan dikatakan peninggalan bangsawan Arab bernama Syarif Abdurrahman Alhabsi dan Syarif Ali. Sebelum dipindahkan ke kawasan muzium, Rumah Limas itu berada di tepi Sungai Musi dan menjadi pusat pemerintahan kesultanan Palembang pada abad ke-17. Rumah Limas ini masih boleh kita lihat kerana menjadi ilustrasi dalam mata wang 10,000 rupiah wang Indonesia.

Ruang pameran di Muzium Balaputra Dewa di bahagian kepada tiga iaitu bahagian Megalitik,yang menggambarkan kegiatan masyarakat Sumatera Selatan yang berpusat di dataran tinggi Pagaralam, di barisan pergunungan di sebelah barat.

 Antara bahan bahan berupa koleksi kitab yang turut dipamerkan.
KITAB: Antara bahan bahan berupa koleksi kitab yang turut dipamerkan.
 Antara prasasti yang dipamerkan di muzium.
MENARIK: Antara prasasti yang dipamerkan di muzium.

Di sini kita boleh melihat beberapa contok artifak yang di temui di Pagaralam dan sebahagian daripada 22 tapak bersejarah budaya megalitik sepertu arca seorang ibu membawa anak, patung orang naik kerbau, patung laki laki bersama ular melingkar dan sebagainya.

Di ruang pameran Sriwijaya, kita dapat melihat barang barang berkaitan kerajaan Sriwijaya, kerajaan Melayu Purba yang berpusat di Palembang. Kita masih dapat melihat beberapa prasasti seperti prasasti kedudukan Bukit, Telaga Batu, kota Kapur, Talang Tuwo Boom Baru, Kambang Unglen, Kambang Unglen II dan Siddhayatra, logam, manik-manik, tempayan, yang kebanyakannya adalah replika kerana yang asli di tempatkan di Museum Nasional Jakarta danTaman Purbakala Kerajaan Sriwijaya di Palembang.

Sementara itu di bahagian kesultanan Palembang, kita dapat melihat koleksi Kesultanan Palembang  abad ke-18 , dari segi kekayaan tenunan songket, seperti tenunan songket motif Nago Besaung, koleksi ukiran kayu palembang, sofa, kursi dan pintu ukiran tradisional.

Kesempatan berkunjung ke muzium memberikan banyak pengetahuan mengenai peninggalan sejarah di nusantara sejak dari zaman prasejarah hingga kini. Saya rasa  masa kunjungan ke Muzium Balaputra Dewa memang agak singkat tetapi memadailah untuk merenung dan memikirkan betapa tingginya ketamadunan kita pada masa lampau.

Kita tidak mungkin lagi hidup di masa lalu, namun ambillah selalu, pelajaran dari masa lalu.

 Penari yang menyambut kedatangan tamu di muzium.
HIBURKAN TETAMU: Penari yang menyambut kedatangan tamu di muzium.
 Museum Balaputra Dewa- Muzium terbesar di Palembang.
KHAZANAH PERADABAN: Museum Balaputra Dewa- Muzium terbesar di Palembang.
  • oleh
  • Advertisement