Anda di sini

Belanjawan 2021: Pembangunan di Sabah dan Sarawak diperkasa

Advertisement

Melalui inisiatif ini barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1 juta rakyat pada harga yang dikawal. 

- Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Menteri Kewangan

 Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada Jumaat lepas. — Gambar Bernama
PelabuBELANJAWAN TERBESAR: Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada Jumaat lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Aktiviti pembangunan di Sabah dan Sarawak bakal diperkasakan menerusi peruntukan tertinggi di bawah Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas.

Tengku Zafrul berkata, untuk Belanjawan 2021 kali ini Sabah akan menerima perbelanjaan pembangunan RM5.1 bilion, manakala Sarawak menerima peruntukan RM4.5 bilion, antaranya bagi menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya selain kemudahan kesihatan serta pendidikan.

Bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’, Belanjawan 2021 dirangka berdasarkan tiga matlamat induk berkenaan iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi, mengambil kira perkembangan semasa pandemik COVID-19 dan kesannya kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata, bagi memastikan matlamat kesejahteraan rakyat dapat dicapai, kerajaan juga akan menaikkan peruntukan daripada RM150 juta kepada RM200 juta untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaannya ke 34 kawasan baharu, antaranya di Pulau Sakar di Sabah dan Ulu Mujok di Sarawak.

“Melalui inisiatif ini barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1 juta rakyat pada harga yang dikawal,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, menerusi langkah bantuan kepada petani, peladang dan nelayan pula, sebanyak RM1.7 bilion disediakan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada golongan terbabit.

“Antaranya, subsidi harga padi sebanyak RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman padi berjumlah RM960 juta termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak RM40 juta.

“Kesemua bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 300,000 pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi bukit di Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak.

“Selain itu, bagi memperkasakan program pembangunan komuniti di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo tersebut, sebanyak RM41 juta diperuntukkan bagi program Native Customary Rights di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan akan memperluas perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak seperti yang telah dilaksanakan kerajaan negeri Sarawak.

Beliau berkata, langkah itu dapat membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menurutnya, bagi aspek pendidikan pula, antara peruntukan khusus pendidikan bagi Sabah dan Sarawak ialah kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM120 juta.

Bagi memastikan langkah kemudahan pengangkutan dapat dilaksanakan, beliau berkata, pas perjalanan bulanan tanpa had dengan harga RM5 akan diperkenalkan untuk pelajar sekolah Tahun 1 hingga Tingkatan 6 serta golongan orang kurang upaya (OKU).

“Mereka boleh menggunakan pas ini bagi perkhidmatan pas perkhidmatan tren Sabah, jajaran Beaufort-Tenom. Jika tambang sekarang secara puratanya ialah RM5, maka bermula tahun depan, tambangnya hanyalah RM5 sebulan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, di bawah Langkah Pemuliharaan Alam Sekitar, kerajaan menyokong inisiatif yang telah diambil kerajaan negeri Sarawak untuk menggunakan bas awam yang menggunakan hydrogen fuel cells sebagai sebahagian daripada langkah melestarikan teknologi hijau yang cekap tenaga dan mesra alam.

“Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti di bawah inisiatif Kemudahan Pengangkutan juga akan diperluas secara berfasa ke Kuching dan Kota Kinabalu, selain di Johor Bahru dan Kuantan, dengan peruntukan RM150 juta,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul lagi, kerajaan juga sedar sektor pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan akibat COVID-19, justeru sejumlah RM20 juta juga diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi kampung-kampung budaya di Sarawak, selain Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kerajaan turut mendengar keluhan para peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong.

“Sehubungan itu, kerajaan mengumumkan Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 yang akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah selain turut diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagi memastikan keseimbangan pembangunan antara wilayah, kerajaan memperuntukkan RM780 juta bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi.

Menurutnya, ini akan turut melibatkan projek infrastruktur di Kawasan Perindustrian Samalaju, Sarawak di bawah SCORE dan penyambungan projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sepanggar Baydi Sabah di bawah SDC.

“Selain itu, melalui Belanjawan 2021 itu juga, galakan cukai sedia ada bagi Koridor Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Iskandar Malaysia dan Koridor Pembangunan Sabah dilanjutkan sehingga tahun 2022,” katanya.

Tengku Zafrul memaklumkan, kerajaan turut berhasrat bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial dalam agenda pembangunan negara.

Katanya sebagai contoh, melalui konsep geran padanan, kerajaan bersama-sama Yayasan Hasanah telah membiayai inisiatif seperti penjanaan pendapatan terutama bagi golongan terjejas semasa COVID-19 ini.

“Antara inisiatif yang dibiayai adalah menjahit pelitup muka oleh masyarakat asal Sarawak di bawah Tanoti,” ujarnya.

Secara keseluruhan, Tengku Zafrul berkata, pembentangan Belanjawan 2021 dilihat sebagai belanjawan yang memperuntukkan jumlah terbesar dalam sejarah bernilai RM322.5 bilion, iaitu RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement