Anda di sini

Kes buli di sekolah berasrama penuh, 11 pelajar mengaku salah

Advertisement
Sebahagian daripada tertuduh semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.
Sebahagian daripada tertuduh semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Seramai 11 pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah berasrama penuh pada awal tahun ini. 

Remaja yang terdiri daripada pelajar tingkatan tiga, empat dan lima itu membuat pengakuan sejurus pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca terhadap mereka.

Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan kes disebut semula pada 17 Disember depan untuk mendengar laporan akhlak bagi kesemua tertuduh, memandangkan mereka merupakan pesalah muda. 

Kesemuanya juga dibenarkan ikat jamin dengan ibu bapa sebagai penjamin. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memukul tiga mangsa berusia 14 tahun pada 19 Januari lalu, jam 1 pagi di asrama tempat mereka tinggal di Jalan Batu Kawa. 

Menurut fakta kes, kesemua mangsa yang tinggal di asrama sekolah berkenaan dipukul, ditumbuk dan diterajang oleh tertuduh. 

Salah seorang mangsa pada mulanya juga disuruh bertumbuk dengan seorang pelajar tingkatan tiga, namun dia enggan menurut kata senior tersebut. 

Akibatnya, mangsa terus dibelasah sehingga menyebabkan dia terjatuh terkena dinding dan kaki katil. 

Susulan kejadian tersebut, kesemua mangsa mengalami kecederaan lebam di seluruh badan iaitu di lengan, perut, belakang, betis dan bahu. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad sementara semua tertuduh diwakili peguam, Abdul Rahman Mohd Hazmi. 

  • oleh
  • Advertisement