Anda di sini

Sufi Rashid kembali dengan single baharu berjudul ‘Yang Terakhir’

Advertisement
 ‘Yang Terakhir’ single terbaharu Sufi selepas ‘Aku Sanggup’ dan ‘Aku Sendiri’.
TERBAHARU: ‘Yang Terakhir’ single terbaharu Sufi selepas ‘Aku Sanggup’ dan ‘Aku Sendiri’.

SELEPAS kejayaan ‘Aku Sanggup’ dan ‘Aku Sendiri’ sehingga berjaya mencatat dua juta tontonan di laman rasmi YouTube Rocketfuel Entertainment, juara Akademi Fantasia 2015 Muhammad Sufi Rashid atau lebih dikenali dengan nama Sufi Rashid kembali mempertaruhkan single terbaharu.

Kali ini, penyanyi lelaki bersuara lantang asal Singapura itu kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan mempertaruhkan single ‘Yang Terakhir’ hasil ciptaan komposer serta penulis lirik terkemuka negara seperti Omar K, John Jeevasingham dan Ikhwan Fatanna.

Menurut pemenang Artis Baharu Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016 itu, lagu tersebut mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah kehilangan cintanya kerana kekasihnya telah pergi meninggalkannya buat selamanya dan kini dia hanya mampu mendoakan kesejahteraan ke atas kekasihnya, dan tiada lagi rasa cinta yang mampu menggantikan perasaan itu.

Tambah Sufi, lagu ini merupakan kesinambungan kepada ‘Aku Sanggup’, tentang kesanggupan berbuat apa sahaja demi kekasihnya, kemudian ‘Aku Sendiri’, tentang dirinya yang ditinggalkan kekasihnya sendirian dan ‘Yang Terakhir’ di mana merupakan penghujung cerita sedih ini.

“Genre yang saya bawakan kali ini agak berbeza dan tak meleleh, lebih kepada rentak pop balada dengan elemen dark, dan dari segi mainan emosi ia kedengaran agak seram,” katanya.

Proses rakaman ‘Yang Terakhir’ mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan sepenuhnya kerana menurut Sufi, Omar K merupakan seorang komposer yang sangat teliti ketika bekerja.

Walaupun sibuk menguruskan perniagaan dan sudah berkeluarga, Sufi berkata nyanyian merupakan bidang kerjayanya yang utama, dan memang dia nanti-nantikan untuk kembali dengan single terbaharu.

Beliau berharap agar lagu ini dapat diterima ramai dan mengubat kerinduan peminat di luar sana yang sudah lama menantikan buah tangan terbaru daripadanya.

Lagu ‘Yang Terakhir’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Yang Terakhir’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.

Advertisement