Anda di sini

Belum ada keperluan bina hospital di Julau - Dr Annuar 

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan belum bercadang untuk membina sebuah hospital di daerah Julau, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee (gambar).

Jelasnya, berdasarkan kepada anggaran penduduk bagi tahun 2018 di daerah Julau adalah berjumlah 18,100 orang.

"Penduduk di daerah ini boleh mendapatkan perkhidmatan di Hospital Sarikei yang merupakan hospital berpakar yang mempunyai 11 kepakaran asas termasuk kepakaran pergigian," katanya ketika menjawab pertanyaan Rolland Duat Jubin (GPS-Meluan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-18 bagi Penggal Kelima di sini hari ini.

Tambah Dr Annuar, piawaian yang sedang diguna pakai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mewujudkan sesebuah hospital adalah berdasarkan kepada nisbah satu hospital setiap 38,000 penduduk.

"Justeru, belum ada keperluan yang mendesak untuk perancangan membina hospital baharu di daerah Julau.

"Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan sentiasa memantau keperluan untuk membina sebuah hospital di kawasan tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Hospital Sarikei ketika ini mempunyai 212 katil dengan seramai 145 doktor yang berkhidmat di situ.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Mohammad Razi Sitam (GPS-Saribas), Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi berkata, projek menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban, Spaoh ditender semula pada Oktober lalu.

Katanya, skop projek itu termasuk enam bilik darjah, enam kuaters guru dan kemudahan lain berkaitan.

  • oleh
  • Advertisement