Anda di sini

Aznil Nawawi tampil dengan program realiti dalam talian terbaharu ‘Jual Letop’

Advertisement
 Aznil tampil dengan program realiti terbaharu hurr.tv, Jual Letop sebagai hos dan mentor.
TERBAHARU: Aznil tampil dengan program realiti terbaharu hurr.tv, Jual Letop sebagai hos dan mentor.

PENGACARA terkenal, Datuk Aznil Nawawi tampil dengan program realiti terbaharu hurr.tv, Jual Letop sebagai hos dan mentor kepada peserta dalam pencarian bakat live streamer di Malaysia mulai 19 November depan pada jam 8.30 malam di laman web hurr.tv, saluran YouTube, Facebook dan aplikasi hurr.tv.

Program realiti dalam talian yang seumpamanya di Malaysia ini diadakan bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu untuk tampil sebagai seorang hos berkebolehan dibimbing secara eksklusif oleh Aznil.

Jual Letop telah memulakan misi pencarian bakat live streamer di mana rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas (yang tidak terikat dengan mana-mana agensi) boleh menyertai program ini.

Cukup mudah, hanya rekodkan diri anda mempromosikan apa sahaja barangan dengan durasi tidak melebihi 5 minit dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Muat naik video tersebut di Facebook atau Instagram anda beserta hashtag #hurrtvJualLetop dan akaun rasmi hurr.tv juga perlu ditag pada video penyertaan berkenaan.

Aznil akan menilai dan menapis video setiap penyertaan dan peserta berpotensi akan layak ke peringkat seterusnya.

Bagi terma dan syarat lain, orang ramai boleh melayari https://www.hurr.tv/jom- layan/jual-letop/.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 November 2020, jam 6 petang.

Peserta terpilih perlu mempromosikan produk atau jenama tertentu sebagai tugasan dalam talian yang perlu diselesaikan secara langsung setiap minggu di akaun Facebook masing-masing.

Tugasan penting itu antaranya termasuklah mempromosikan laman web, produk dan jenama tempatan.

Di akhir tugasan, Aznil akan membuat penilaian prestasi setiap peserta.

Peserta akan dipilih secara rawak berdasarkan prestasi untuk hadir ke studio bagi mendapatkan bimbingan secara eksklusif oleh Aznil dan juga tetamu jemputan.

Kemuncaknya hanya 10 peserta sahaja akan mara ke peringkat akhir.

Mereka akan dinilai berdasarkan jumlah tontonan, kreativiti, interaksi dan hasil jualan di sepanjang tugasan mingguan yang telah diberikan.

Juara bagi program ini akan menerima wang tunai RM50,000.

Diikuti dengan RM15,000 (naib juara), RM8,000 (tempat ketiga), RM5,000 (tempat keempat) dan RM3,000 (tempat kelima).

Kesemua lima peserta ini juga akan mendapat peluang diketengahkan di platform hurr.tv untuk menjadi hos bagi program sedia ada serta beberapa kandungan terbaharu.

Saksikan tugasan menarik setiap peserta dan bagaimana Datuk Aznil akan membentuk mereka untuk tampil yakin dan hebat dalam pencarian bakat live streamer Malaysia.

Advertisement