Anda di sini

Amerika Tengah meratap angkara Eta

Advertisement
 Pandangan dari udara menunjukkan tanah runtuh susulan kemaraan Hurikan Eta di kampung Queja di San Cristobal Verapaz, Guatemala kelmarin. — Gambar AFP
DAHSYAT: Pandangan dari udara menunjukkan tanah runtuh susulan kemaraan Hurikan Eta di kampung Queja di San Cristobal Verapaz, Guatemala kelmarin. — Gambar AFP

TUXTLA GUTIRREZ: Hujan lebat dan cuaca dingin luar biasa yang dikaitkan dengan sistem ribut Eta telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa di wilayah Chiapas di selatan Mexico, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Pihak berkuasa di Honduras pula menyatakan banjir di bahagian utara dan barat laut susulan hujan lebat yang dibawa ribut tersebut telah menyebabkan 23 orang terkorban selepas sepuluh lagi kehilangan nyawa mereka pada Jumaat.

Kerajaan negeri Chiapas, yang bersempadan dengan Guatemala di mana kira-kira 150 orang mati atau hilang semasa kemunculan ribut, menyatakan 10 mayat telah ditemui di sungai di pekan Chenalho.

Laporan awal menyatakan mereka telah dihanyutkan arus yang sangat kuat.

Lapan lagi maut di bandar El Bosque dan La Grandeza, menurut pihak kerajaan.

Seorang lagi telah dihanyutkan di sebatang sungai di Oxchuc, sementara seorang remaja maut di Mitontic.

Ribut tersebut turut menyebabkan tanah runtuh yang menghalang jalan raya di sekurang-kurangnya 20 lokasi di Chiapas, wilayah miskin dengan majoriti penduduk peribumi.

Kerajaan menyatakan lima batang sungai telah melimpah dari tebingnya dan banjir telah memutuskan perhubungan ke tiga pekan.

Amerika Syarikat (AS) dan Guatemala telah menghantar beberapa helikopter ke Honduras bagi membantu misi menyelamat yang melibatkan 50,000 kakitangan perkhidmatan kecemasan, kata pihak brekuasa.

Lebih 16,000 orang telah diselamatkan dengan bot dan helikopter dari wilayah-wilayah yang dibadai Eta, kata agensi bantuan bencana kerajaan Jawatankuasa Tetap Kecemasan.

Honduras telah mengumumkan zon sifar di utara Sula Valley, lembah lanar yang mengandungi aluvium terbesar di negara itu.

Ia juga menempatkan bandar kedua terbesar di Honduras, San Pedro Sula.

Sungai Ulua, Chamelecon dan Humuya melimpah dari tebing dan membanjiri lembah tersebut.

Pihak berkuasa menyatakan lebih 1.7 juta orang dan lebih sejuta rumah di negara yang mempunyai 9.5 juta penduduk telah terjejas.

Amerika Tengah terjejas teruk sejak Eta membadai Nicaragua Selasa lepas sebagai ribut taufan yang sangat kuat sebelum kehilangan kekuatannya.

Pihak berkuasa di Panama melaporkan 17 kematian dan 68 orang hilang, kata Menteri Keselamatan Juan Pino.

Cuba sedang berdepan dengan impak yang dijangkakan semalam ketika Eta menghampirinya daripada kekuatan angin tropika kepada  ribut tropika.

Havana telah meletakkan beberapa wilayah di tengah negara kepulauan itu dalam keadaan berjaga-jaga.

Agensi Pertahanan Awam menyatakan kelmarin ia menjangkakan penurunan hujan yang kuat dan lebat di beberapa bahagian besar di kepulauan tersebut.

Institusi meteorologi menyatakan Eta membawa angin sehingga 80 kilometer sejam.

Pihak berkuasa telah menangguhkan perkhidmatan bas dan kereta api serta mula memindahkan penduduk dari kawasan yang terancam. — AFP

Advertisement