Anda di sini

Belanjawan 2021: Terima kasih kerana beri perhatian kepada 'Negeri Di Bawah Bayu'

Advertisement
ZAKARIA
ZAKARIA

SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas perhatian yang diberikan kepada 'Negeri Di Bawah Bayu'.

Beliau juga merakamkan ucapan syabas kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Aziz di atas usaha beliau serta ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas keprihatinan beliau.

Menurut beliau, pembentangan Belanjawan 2021 yang bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama', telah memperuntukkan RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur di Sabah dan kerajaan juga akan memberikan peruntukan untuk kesinambungan projek Pan Borneo dari Serusop ke Pituru.

Selain itu, beliau juga menyambut baik perkhidmatan bank mudah alih yang akan diperluaskan ke Sabah untuk memudahkan penyaluran bantuan kerajaan kepada penduduk luar bandar.

Katanya, kerajaan melalui program Hak Adat Anak Negeri yang memperuntukkan RM41 juta bagi memelihara hak asasi orang asal di Sabah juga amat dinanti-nantikan oleh golongan sasar.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata bagi memastikan matlamat 'kesejahteraan rakyat' dimanifestasikan dan meringankan beban hidup rakyat, kerajaan menaikkan peruntukan subsidi, bantuan dan insentif bagi Sabah daripada RM150 juta kepada RM200 juta melalui Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming serta meluaskannya ke 34 kawasan baru termasuk Pulau Sakar di Sabah.

Sebagai langkah bantuan kepada petani, peladang dan nelayan di seluruh negara termasuk penanam padi di Nabawan, beliau berkata Sabah akan menikmati bantuan sejumlah RM570 juta subsidi harga padi, RM960 juta subsidi dan insentif tanaman padi termasuk RM40 juta subsidi baja padi bukit.

Antara peruntukan khusus melibatkan Sabah dan Sarawak, kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM120 juta bagi sekolah luar bandar di kedua-dua negeri itu.

Zakaria berkata, golongan belia juga mendapat banyak peluang dan manfaat daripada belanjawan yang dibentangkan iaitu antaranya kerajaan memantapkan lagi bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Selain itu, katanya satu Geran Khas Prihatin sebanyak RM1,000 juga diberi kepada peniaga dan penjaja serta pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

Berdasarkan peruntukan dan program yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah, beliau berkata ia jelas menunjukkan Belanjawan 2021 adalah inklusif, berpaksikan dan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat meliputi semua bidang termasuk infrastruktur.

  • oleh
  • Advertisement