Anda di sini

Belanjawan 2021 mampu tingkatkan keupayaan sukan di Sabah

Advertisement
ANDI SURYADI
ANDI SURYADI

 

TAWAU: Sabah boleh meningkatkan keupayaan dalam bidang sukan jika Belanjawan 2021 yang diumum kerajaan pada Jumaat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryadi Bandi berkata, Sabah mempunyai modal insan dalam bidang sukan yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

"Namun, kita berhadapan kekangan dari segi kemudahan prasarana yang tidak mencukupi dan masih jauh ketinggalan dari negeri-negeri yang lain.

"Kita mahukan selain pembinaan infrastukturnya, kemudahan sukan juga perlu dimajukan dan ditingkatkan setara dengan negara lain, bahkan menjadikan sukan sebagai satu kerjaya yang mempunyai pendapatan lumayan," katanya.

Beliau yang juga wakil rakyat Tanjung Batu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peruntukan Belanjawan 2021 terhadap bidang sukan dan golongan belia di sini.

Menurutnya, salah satu misi Kementerian Belia dan Sukan Sabah adalah melihat peluang hala tuju ahli sukan agar mereka boleh menjana pendapatan dan menjadikan sukan sebagai peluang kerjaya yang boleh dibanggakan.

"Sebab itu kita mengalu-alukan Belanjawan 2021 yang memperuntukkan sejumlah dana dalam bidang sukan khusus bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara prasarana sukan di seluruh negara dan sudah tentu Sabah tidak ketinggalan untuk memperolehinya," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Belanjawan 2021 juga banyak memberi fokus kepada golongan belia bagi meningkatkan keupayaan mereka khususnya mendapatkan pekerjaan dan sumber pendapatan serta kemahiran yang lebih baik.

"Belanjawan 2021 banyak memfokus untuk golongan belia dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan insentif, oleh itu kita harap belia merebut dan memanfaatkan peluang yang disediakan untuk mereka," katanya.

Andi berkata, belia perlu bersikap terbuka untuk bekerja di sektor 3D iaitu 'dirty', 'difficult' dan 'dangerous' (kotor, sukar dan bahaya) yang ketika ini dimonopoli pekerja warga asing dan melihat potensi industri hiliran.

"Ubah minda kerana keengganan belia kita yang kurang berminat dengan sektor 3D ini menyebabkan peluang pekerjaan semakin terhad dan belia juga perlu menjadi pencipta kerja dan tidak hanya mengharap kerajaan semata-mata menyediakan peluang pekerjaan," katanya.



 

  • oleh
  • Advertisement