Anda di sini

Pendakwaan akan panggil 10 saksi pada perbicaraan kes Ahmad Maslan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan mengemukakan 10 saksi pada perbicaraan kes Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pe-nyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan penya-taan-penyataan saksi kepada mahkamah dan pasukan pembelaan, awal bulan lepas.

Perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Sebelum ini, perbicaraan kes Ahli Parlimen itu ditetapkan pada 16 dan 23 Oktober serta 6 November (semalam), bagai-manapun prosiding telah dilapangkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pihak pendakwaan menerima e-mel daripada mahkamah baru-baru ini yang memaklumkan pengurusan kes ditetapkan pada 27 November ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mengetuai pasukan pembelaan ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.

Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawa-ngan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April, 2014. — Bernama

Advertisement