Anda di sini

Mengamuk, rosakkan pintu selepas tidak diberi wang, penganggur didenda

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan khianat dengan menendang pintu tidur bilik ibunya sehingga rosak kerana mengamuk apabila tidak diberi wang. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga menetapkan tertuduh, 30, yang mengaku bersalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan untuk dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan jenayah khianat dengan merosakkan pintu bilik tidur ibunya pada 2 November lalu, jam 10 pagi bertempat di kediaman mereka di Jalan Astana, di sini.  

Berdasarkan keterangan kes, pada hari kejadian, tertuduh mengamuk dan bertindak demikian kerana ibunya enggan memberikan wang.

Difahamkan, ibu tertuduh sedia maklum bahawa wang tersebut hanya akan digunakan tertuduh untuk membeli dadah. 

Akibat perbuatan itu juga, ibu tertuduh mengalami kerugian berjumlah RM500. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement