Anda di sini

Dua sekawan didenda RM10,000 terlibat judi dalam talian

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Indonesia masing-masing didenda RM10,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat dalam kegiatan judi dalam talian.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan demikian terhadap Bong Wei Zhe, 24 dan Lili Julianti, 26, setelah mereka mengaku bersalah di bawah Seksyen 4 B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Seksyen berkenaan memperuntukkan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Bong yang beralamatkan di Jalan Matang dan Lili yang berasal dari Jagoi Babang, Indonesia, dilaporkan membayar denda tersebut.

Mereka didakwa menjalankan kegiatan judi dalam talian di sebuah rumah di Jalan Penrissen, di sini, pada 3 November lalu, jam 11.10 pagi.

Menurut keterangan kes, semasa serbuan, kedua-dua tertuduh sedang mengendalikan sebuah komputer semasa berada di ruang tamu rumah tersebut dan pakar judi melalui laporannya mengesahkan komputer itu merupakan mesin judi. 

Beberapa peralatan seperti CPU, monitor, tetikus, papan kekunci dan beberapa buah telefon pintar pelbagai jenama dan lain-lain turut dirampas sebagai bahan kes.

Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan agar wanita warga Indonesia itu untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement