Anda di sini

Lelaki dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan jalankan perniagaan pinjam wang tanpa lesen

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30an dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini daripada dua pertuduhan menjalankan perniagaan pinjam wang tanpa lesen.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan demikian setelah mendapati pengadu kes menarik balik laporan polis terhadap Lai Wei Heng, sekali gus memberikan gambaran bahawa pengadu tidak berminat untuk meneruskan kes tersebut. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen pada 12 Mei lalu, di sebuah premis di Jalan Kapor di sini.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh melakukan perbuatan yang sama pada 9 Jun lalu, semasa berada di sebuah premis di Jalan Datuk Stephen Yong di sini. 

Untuk kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dihukum mengikut Seksyen 5 (2) akta sama. 

Hukuman yang diperuntukkan denda antara RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Ng Ah Lek.

  • oleh
  • Advertisement