Anda di sini

AirAsia raih Anugerah WTA 2020 untuk tahun kelapan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: AirAsia terus mengungguli anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia di World Travel Awards (WTA) 2020 yang merupakan kemenangan syarikat itu bagi tahun kelapan berturut-turut.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia berkata pengiktirafan tersebut berserta anugerah Anak Kapal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka 2020 itu diterima hasil undian tertinggi daripada kalangan profesional dan penggiat industri pengembaraan dari serata rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes berkata anugerah itu ditujukan khusus untuk kakitangan AirAsia Allstars yang telah meninggalkan syarikat penerbangan berkenaan baru-baru ini.

Malah, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang memberi komitmen, kegigihan dan dedikasi pada tahun ini.

"Penghargaan ini turut kami tujukan untuk lebih 600 juta pelanggan yang masih setia menyokong serta percayakan kami sejak hari pertama lagi. Mereka turut memahami ketika kami mengharungi tempoh paling sukar dalam sejarah AirAsia,” katanya.

Sementara itu, Pengasas WTA Graham E Cooke menyifatkan AirAsia terus menerajui penerbangan tambang rendah di Asia walaupun dalam persekitaran tidak dijangkakan yang dihadapi oleh industri berkenaan pada tahun ini.

"Usaha AirAsia untuk mencapai kecemerlangan kekal sukar ditandingi dan saya gembira kesungguhan itu turut diakui oleh kalangan penggiat pengembaraan serta orang ramai,” katanya. - Bernama 

Advertisement