Anda di sini

Perjalanan hidup bintang veteran Korea dijadikan dokumentari

Advertisement

PADA usia 93 tahun, hala tuju kehidupan pengacara televisyen Korea Selatan Song Hae mencerminkan hala tuju negaranya, daripada penjajahan Jepun hingga kepada peperangan dan kebangkitan kebudayaan, yang penuh penderitaan dan kehilangan.

Song terkenal di seluruh Korea Selatan sebagai pengacara ‘Pertandingan Nyanyian Kebangsaan’, sebuah program bakat yang disiarkan dari lokasi berbeza setiap minggu dan sudah bersiaran selama 40 tahun dan masih popular.

Personalitinya yang mesra dan lucu telah menarik ramai sekali peminat, daripada kanak-kanak hingga kepada golongan remaja dan warga emas, dan lokasi yang dinamakan sempenanya termasuk sebuah lebuh di Seoul dan sebuah taman di Daegu.

Tetapi Song dilahirkan di wilayah yang kini dikenali sebagai Korea Utara sekarang dan merupakan antara jutaan manusia dengan keluarga yang dipecah-belah oleh Perang Korea – di mana dia turut memainkan peranan untuk menamatkannya apabila dia menyampaikan arahan untuk berhenti menembak.

“Generasi saya hidup pada masa yang sangat malang,” kata Song kepada AFP.

Kehidupannya yang luar biasa dipaparkan dalam sebuah dokumentari yang mengadakan tayangan perdana dunia di Festival Filem Busan, yang terbesar di Asia, baru-baru ini.

Diarah oleh pemenang anugerah Jero Yun, ‘Song Hae 1927’ memberi tumpuan kepada kesedihan Song dan kacau-bilau dalam sejarah keluarganya – selain dipisahkan daripada ibu bapa dan adik beradiknya oleh peperangan, anak lelaki tunggalnya maut dalam satu nahas lalu lintas pada usia 23 tahun.

“Encik Song adalah seseorang yang mempunyai daya hidup,” kata Yun, yang pernah menangani tema-tema migrasi dan pelarian dari Korea Utara.

“Soalan saya untuk projek ini ialah, bagaimanakah kita menangani kekosongan dalam minda kita apabila kita kehilangan seseorang?”

- ‘PERTEMPURAN AKAN BERHENTI’ -

Dilahirkan sebagai Song Bok-hee pada 1927 di Jaeryong, di negara yang sekarang dikenali sebagai Korea Utara, Song membesar pada era penjajahan Jepun, di mana dia ingat diri pernah dipukul kerana bercakap dalam bahasa Korea dan menghabiskan masa berjam-jam yang meletihkan dengan memotong rumput kering untuk diberi sebagai makanan kepada kuda-kuda anggota kalvari Jepun.

“Saya masih ada parut pada kaki saya dari zaman itu, kerana terlukai diri sendiri ketika menggunakan sabit,” katanya.

Dia belajar bernyanyi di sekolah muzik dan apabila peperangan meletus, dia kerap menjauhkan diri dari rumah untuk mengelak daripada direkrut untuk menyertai tentera Korea Utara.

Pada satu kali, ibunya memanggil dia pulang ketika dia hendak meninggalkan rumah.

“Dia memberitahu saya: ‘Kali ini berhati-hati.’ Lalu saya memberitahunya: ‘Saya akan balik dalam masa dua hari’.”

Itu adalah kali terakhir mereka bercakap: apabila tentera Korea Utara mara, dia mencari pelindungan di atas sebuah kapal perang Amerika Syarikat yang memindahkan orang awam ke Korea Selatan.

Dia menghabiskan kebanyakan waktu dalam pelayaran selama tiga hari itu merenung perairan terbuka, tidak tahu sama ada dia akan dapat balik ke kampung halaman ataupun tidka, dan kemudian menukar namanya kepada Hae – yang bermaksud ‘laut’ – untuk memperingati perjalanan yang memisahkannya daripada keluarganya buat selama-lamanya.

Di Korea Selatan, Song menjadi pegawai isyarat tentera, dan berkata dia dan rakan-rakannya kemudian menghantar mesej berkod yang menamatkan pertempuran dan memeterai perpecahan semenanjung Korea.

“Kami kemudian dimaklumkan ia bermaksud ‘Pada jam 2200 pada tarikh 27 Julai 1953, pertempuran di semua barisan depan akan dihentikan’,” katanya.

“Sayalah yang menghantarnya, dan sekarang pun saya masih tidak dapat balik.”

- ‘IA ADALAH DOSA’ -

Pada dekad-dekad seterusnya, Korea Selatan telah menyaksikan kepesatan ekonomi ketika diperintah oleh kerajaan tentera kuku besi dari tahun 1960an sehingga tahun 1980an – Song pernah disoal siasat selama tiga hari kerana merungut tentang kesusahan.

Negara itu seterusnya mengukuhkan diri sebagai sebuah demokrasi yang bertenaga serta kuasa teknologi dan hiburan.

Song membina kerjaya sebagai seorang penyanyi, pelawak dan personaliti televisyen, dan menghabiskan masa selama 17 tahun menjadi pengacara sebuah program radio yang memberi laporan lalu lintas, sehingga anaknya Chang-jin maut dalam nahas motosikal.

“Saya tidak dapat berkata ‘berhati-hati mengenai nahas kereta’ ke udara selepas kehilangan anak saya seperti itu,” katanya.

Pada 1988, dia mengambil alih tugas sebagai pengacara ‘Pertandingan Nyanyian Kebangsaan’ – sesuatu yang agak tidak konsisten memandangkan dia tidak menggalakkan Chang-jin daripada menceburi karier dalam bidang muzik.

Ketika itu penyanyi profesional sepertinya dipandang rendah oleh masyarakat, dan dia mengikuti contoh bapanya sendiri, yang juga tidak menggalakkannya.

“Ia adalah dosa bagi seorang bapa untuk tidak memahami apa yang sedang dllalui oleh anaknya,” katanya sambil mengesat air mata.

Sejak itu Song sudah mengacarakan hampir 1,500 episod bagi program itu dari setiap pelusuk Korea Selatan, dan satu episod di Pyongyang, sewaktu usaha damai ‘Dasar Sinaran Matahari’ pada awal tahun 2000an.

Tetapi dia tidak dapat melawat bandar asalnya, untuk memberi penghormatan di kubur ibu bapanya yang diandaikan sudah lama meninggal dunia, mahu pun berjumpa dengan adik perempuan yang dia telah tinggalkan, dan menangis sepanjang perjalanan pulang ke Seoul.

Perasaan sedih yang tidak sudah-sudah dan kebencian terhadap ketidakadilan, dikenali sebagai ‘han’, merupakan tema yang sekian lama wujud dalam kesusasteraan dan kebudayaan Korea.

Song berkata: “Malah sehari suntuk tidak akan cukup untuk mengira perkara yang saya dapati penuh dengan ‘han’.”

— AFP

Advertisement