Anda di sini

PKOB benarkan ahli keluarga di kawasan PKPD kirim barang keperluan

Advertisement
 Pihak PKOB mula menyusun barang keperluan untuk penduduk di kawasan PKPD.
KAWAD DURI : Laluan masuk di kawasan Taman Semarak mula dipasang kawad berduri oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

TAWAU : Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tawau benarkan ahli keluarga menyerahkan barang makanan serta barang keperluan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Taman Semarak dan PPR Balung.

Jawatankuasa PKOB merangkap Setiausaha Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang berkata barang-barang tersebut perlu melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan AM (JPKA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMM).

"Pihak PKOB menetapkan semua barang yang hendak dikirim dikumpulkan di MPT mengikut hari yang sudah ditetapkan iaitu Taman Semarak pada Isnin dan Khamis, manakala PPR Balung Selasa dan Jumaat sebelum jam 11.30 pagi.

"Penghantaran ke lokasi PKPD akan dilakukan pada jam 12.00 tengahari oleh pihak JPKA, JKMM dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau,"katanya ketika dihubungi, di sini.

Mengulas lanjut, ahli keluarga perlu meletakan nama, alamat dan nombor telefon penerima di kotak barang yang mahu dikirim supaya memudahkan pihak petugas menghantar barang tersebut.

"Proses pengagihan di Taman Semarak, empat wakil penduduk mengikut blok dan tingkat akan membantu pihak JPKA menyerahkan barang berkenaan kepada penerima.

"Manakala di PPR Balung pula, barang-barang kiriman tersebut akan dihantar ke rumah masing-masing kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah,"katanya.

Beliau berkata, penduduk Taman Semarak dan PPR Balung tidak dibenarkan berkumpul semasa pengagihan barang keperluan dijalankan dan segala pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan tegas.

Terdahulu, dua kawasan di daerah ini telah diisytihar sebagai kawasan PKPD oleh pihak kerajaan iaitu Taman Semarak dan PPR Taman Sri Balung bermula 26 Oktober sehingga 9 November 2020.

Taman Semarak merangkumi tujuh lingkungan termasuklah perumahan Taman Semarak, Semarak Jaya, Semarak Megah, Semarak Indah, Taman Sejati, Taman Muhibbah dan PPR Semarak.

Pihak kerajaan melalui PKOB akan menyalurkan bantuan makanan seperti yang sudah dilakukan di kawasan PKPD lain dan sekiranya penduduk mempunyai sebarang masalah boleh menghubungi PKOB Tawau di talian 089701610.

  • oleh
  • Advertisement