Anda di sini

Jual Kancil untuk jadi penternak ikan laga

Advertisement
HALF MOON PLAKAT MUNTICOLOUR
HALF MOON PLAKAT MUNTICOLOUR

Siri 3

... Erwandy nekad berhenti sebagai jurulatih muaythai

BERMULA sebagai hobi, seorang pemuda nekad berhenti menjadi jurulatih muaythai hujung tahun lepas dan menjadikan menternak ikan laga sebagai sumber baharu.

Keputusan Erwandy Kalai, 36, dari Sandakan, tidak sia-sia apabila ikan laga peliharanya kini menjadi permintaan peminat dari seluruh Malaysia.

Erwandy yang mesra dengan panggilan Wandy telah memulakan menternak ikan laga bermula pada 2018 dan mengambil keputusan menjual kereta miliknya jenis Perodua Kancil.

Hasil jualan kereta miliknya itu telah menjadikan perusahaannya menternak ikan laga mula diperbesarkan yang terletak di rumah arwah ayahnya di Kampung Sungai Kayu Batu 7, Sandakan.

 Erwandy melatih ikan laga menggunakan cermin kecil.
SIHAT: Erwandy melatih ikan laga menggunakan cermin kecil.

Beliau kemudiannya telah dipilih menjadi Usahawan Bimbingan RISDA dengan mendapat bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (2020) jenis projek ikan laga.

Erwandy berkata, pemulaan menternak ikan laga agak sukar dengan pelbagai cabaran yang perlu dilalui tetapi dengan permintaan daripada peminat yang baik telah memberi pulangan pendapatan hasil pelaburannya dalam perniagaan ini.

Pada mulanya, beliau berkata kaedah menternak ikan laga dipelajarinya dari penternak berpengalaman dengan mendapatkan induk ikan laga bermutu bagi proses pembiakan.  

Beliau berkata, penjagaan ikan laga agak sukar tetapi dengan disiplin yang mungkin dimilikinya semasa menjadi atlet dan jurulatih muaythai telah menjadikan kerja menternak semakin mudah apatah lagi ikan jenis ini tidak memerlukan oksigen dan jangka hayatnya boleh mencecah 14 bulan.

"Jika ada permintaan di luar daerah Sandakan, saya akan poskannya yang biasanya mengambil masa dua hari. Sekiranya terdapat peminat ikan laga di Sandakan membuat permintaan, mereka akan datang ke ladang ternakan bagi memilih sendiri ikan yang mereka minati," katanya.

Erwandy memberitahu harga ikan laga yang diternaknya buat masa ini dijual bermula dari RM10 hingga ratusan ringgit.

"Sebelum ini, ada seorang rakan yang juga peminat ikan laga dari Sarawak telah membeli seekor ikan laganya dengan nilai RM900. Saya sendiri tidak sangka, tawaran ikan laga milik saya itu boleh mencecah harga yang tidak diduganya," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, harga ikan laga yang dipasarkannya mengikut kualiti ikan laga dihasilkan yang diternaknya.

"Pelbagai faktor dilihat dari segi kualiti ikan yang dihasilkan, sebagai contoh faktor warna, corak dan bentuk ikan. Sekiranya kualiti ikan laga itu memenuhi syarat yang baik, maka ikan itu akan dijual dengan harga tinggi," jelasnya.  

Beliau berkata, jenis ikan laga yang paling popular ialah Halfmoon, Halfmoon Plakat, Giant Halfmoon Plakat, Double Tail, Crown Tail, V Tai , Plakat dan Giant.

HALF MOON RED DRAGON
HALF MOON RED DRAGON


Induk ikan laga bermutu tinggi dipilih bagi pembiakan

Mengenai pembiakan, Erwandy berkata, ikan laga jantan dan ikan laga betina yang matang dan bermutu tinggi akan dipilih untuk proses mengawan.

Beliau berkata, menternak ikan laga bukan perkara mudah kerana kedua-dua induk segar dan terbaik perlu dipilih sebelum proses pembiakan. Penggunaan daun ketapang yang direndam dalam tangki pembiakan disediakan lebih awal.

"Ia supaya kualiti air berubah kepada sedikit masam kelat seperti mana di habitat asalnya. Faktor kejayaan pembiakan bergantung kepada kematangan induk, khususnya induk betina yang bersedia untuk bertelur.

"Tanda kematangan induk betina mudah dikesan apabila terdapat tanda putih seperti beras terbonjol keluar dari bahagian bawah perut atau pusatnya mula kelihatan," katanya.

Menurutnya, rangsangan pembiakan perlu dilakukan dan masukkan induk jantan dulu dalam tangki pembiakan.

"Kemudian, baru masukkan induk betina yang ditempatkan di dalam botol kecil berasingan.

"Waktu ini induk jantan begitu agresif apabila melihat induk betina dan ini membolehkan kedua-dua­nya saling berkenalan dan tidak bergaduh apabila disatukan dalam tangki pembiakan nanti," katanya.

Katanya, dalam tempoh itu, induk jantan mula membuat sarang atau buih manakala induk betina dilepaskan bersama pasangannya dalam tangki pembiakan.

"Pembiakan sempurna ialah apabila persenyawaan berlaku. Induk betina mula mengeluarkan telur dan pasangan berkenaan akan melekatkan telur masing-masing pada buih.

"Selepas bertelur, induk betina segera dikeluarkan dari tangki berkenaan. Ini berikutan sifat induk jantan mulai bertukar agresif dan akan menyerang induk betina yang cuba menghampiri sarang buih.

"Telur yang sempurna persenyawaan akan menetas dalam tempoh 18 hingga 24 jam, namun peratus kejayaan penetasan bergantung kepada keadaan suhu air," katanya.

Beliau berkata, anak ikan laga atau fly yang berusia lima hari selepas menetas kemudian perlu diasingkan daripada ikan laga jantan.

"Pengasingan dalam bekas itu akan dibiarkan selama sebulan. Selepas sebulan, anak ikan laga akan dibiakkan secara berkelompok di dalam ruangan yang bersaiz lebih besar sehingga dua bulan lebih," katanya.

Erwandy berkata, selepas dua bulan, anak ikan laga akan diasingkan seekor demi seekor ke dalam cawan plastik lut sinar bagi mengelak ia berlaga sesama sendiri.


Penjagaan ikut disiplin mampu hasil anak ikan berkualiti

Beliau berkata bila usia rega (anak) tiga hari hing­ga sebulan setengah, ia perlu diberi makanan seni (halus).

"Artemia adalah pilihan makanan seni terbaik untuk rega yang baru menetas. Ini peringkat paling getir kerana kalau tersilap bagi makan semua rega akan mati atau diserang penyakit," katanya.

Erwandy berkata, pemberian makanan artemia atau kutu air diberikan pada hari ke lima hingga ke satu bulan.

"Manakala makanan selingan ‘bloodworm’ diberikan pada minggu ketiga sehingga dewasa.

"Anak ikan laga boleh dijual apabila tempoh matang mencapai usia lima bulan ke atas. Tetapi ada juga peminat tegar ikan laga datang menawarkan pembelian secara borong anak ikan berusia dua bulan setengah hingga empat bulan," katanya.

Beliau berkata, faktor air penting dalam penjagaan ikan laga dalam memastikan ikan laga hidup sihat dan membesar dengan baik.

"Sekiranya penjagaan air kurang diambil perhatian, ikan laga mempunyai risiko kepada pelbagai penyakit. Penyakit yang selalu menyerang ikan laga kebanyakannya adalah bakteria, kulat dan parasit," katanya.

Erwandy berkata, keadaan air yang buruk mendatangkan banyak keburukan kepada ikan laga selain membantu pembiakan bakteria-bakteria yang mana bakteria itu datangnya dari makanan yang terbiar.

"Makanan yang tidak dimakan perlu dibuang, jangan biar makanan berkenaan larut bersama air," katanya.

Beliau berkata, sebelum merawat perlu mengenal pasti ikan laga yang sakit dengan tanda-tanda seperti tidak aktif, kurang bergerak, tiada selera makan, menggeselkan badannya pada dinding akuarium atau perhiasan dan tidak bermaya.

"Kita juga boleh lihat pada tubuh ikan laga seperti dipenuhi tompok-tompok putih atau hitam, warna pudar, ekor yang mereput, abdomen yang besar dari ikan laga yang normal dan mata membonjol," katanya.

Erwandy berkata, cara merawat ikan laga yang sakit boleh dilakukan setelah dikenal pasti puncanya seperti tukar air bersih, bersihkan bekas, guna daun ketapang, ubat anti-bakteria atau anti-parasit, guna garam akuarium dan hentikan memberi makanan hidup.


Fokus jual ikan laga jenis Giant 

Erwandy telah memulakan menternak ikan laga jenis Giant selepas hampir mengalami kerugian selepas fly (anak ikan) yang diternaknya mati lebih 1,000 ekor ekoran faktor cuaca.

Beliau yang hampir berputus asa pada ketika itu dan hanya mempunyai RM1,000 dalam simpanannya dengan mengambil keputusan untuk membeli sepasang ikan laga jenis Giant bagi dijadikan induk.

GIANT BETTA FISH
GIANT BETTA FISH

Erwandy tidak menyangka usahanya untuk membiakkan ikan laga jenis Giant mampu membuah hasil baik sehingga kini dia memiliki lebih 1,000 ekor sedia dipasarkan.

"Harga jualan ikan jenis Giant ini lebih baik, dari ratusan ringgit sehingga boleh mencecah ribuan ringgit dengan ciri-ciri tertentu dan kualiti tinggi," katanya.

Buat masa ini, beliau memiliki ikan laga jenis Giant, half moon, half moon plakat, multi, doubletail dan koi multi.

Advertisement