Anda di sini

Pembuat filem dari M’sia di Jepun hasilkan trilogi Osaka

Advertisement
 Lim Kah Wai (kanan) bersama pelakon Vietnam, Lien Binh Phat semasa penggambaran filem ‘Come and Go’ yang memaparkan ketabahan pekerja tempatan dan asing yang berusaha untuk mencapai impian di Osaka. — Gambar Bernama
DI LOKASI: Lim Kah Wai (kanan) bersama pelakon Vietnam, Lien Binh Phat semasa penggambaran filem ‘Come and Go’ yang memaparkan ketabahan pekerja tempatan dan asing yang berusaha untuk mencapai impian di Osaka. — Gambar Bernama

PEMBUAT filem Malaysia yang berpangkalan di Jepun, Lim Kah Wai ingin berkongsi impian dunia baharu yang lebih baik menerusi paparan “pokok bunga sakura yang mekar berterusan” dalam babak terakhir triloginya bertajuk ‘Come and Go’, yang berlatar belakangkan bandar Osaka di Jepun.

‘Come and Go’, kesinambungan daripada dua filem sebelumnya iaitu ‘New World’ dan ‘Fly Me to Minami’ yang diterbitkan pada 10 tahun lepas, adalah filem Lim yang terbaik setakat ini dan ia memaparkan ketabahan pekerja tempatan dan asing yang berusaha untuk mencapai impian masing-masing di sebuah negara yang sedang mengalami lonjakan industri pelancongan, filem dan halal.

Lim berasa amat terharu apabila filem ini telah dipilih untuk dipersembahkan pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-33 (TIFF), yang dijadual berlangsung dari 31 Oktober hingga 9 November.

“Festival ini adalah satu peluang bagi saya untuk memaparkan filem saya kepada penonton Jepun (layar besar) kerana kebanyakan pawagam di Jepun telah dibuka semula berikutan kelonggaran perintah kawalan pergerakan semasa pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Lim yang kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada Januari tahun ini, “terkandas” buat seketika di negara ini apabila penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada bulan Mac. Beliau kemudian pulang ke Osaka, yang mana beliau banyak menghabiskan waktunya di sana, awal bulan ini.

Lim, 47, yang berkelulusan jurusan kejuruteraan elektrik dari Universiti Osaka pada tahun 1998, bekerja di Tokyo selama enam tahun sebelum berhenti untuk belajar selok-belok bidang pengarahan di Akademi Filem Beijing di China. Setakat ini, beliau telah menghasilkan lapan filem termasuk trilogi ini.

Lim memenangi Anugerah Sumbangan Penonton dan Teknikal daripada Cineastes Organisation Osaka atas hasil trilogi pertamanya ‘New World’ yang berkisar mengenai pengalaman seorang pelancong China di Jepun yang tidak pernah mengenali negara itu, dan bersandarkan sejarah dan pesona Osaka.

LAPAN CERITA PENDEK

‘Come and Go’, yang bersaing untuk anugerah penonton di TIFF, menampilkan lapan cerita pendek - difilemkan dengan berlatar belakang keindahan musim bunga sakura yang memukau - dengan 14 watak utama pan-Asia yang berasal dari Taiwan, Vietnam, Malaysia, Myanmar , Nepal, Hong Kong, China, Korea Selatan dan Jepun.

Filem ini mengisahkan perjuangan mereka untuk memburu keselesaan hidup di daerah perniagaan Umeda di Osaka (bandar kedua terbesar di Jepun) dengan kesemua mereka berkongsi impian yang sama untuk mencapai masa hadapan yang lebih baik.

“Itulah realiti kehidupan (sekarang) yang tidak mengira sama ada mereka itu orang Jepun atau asing, yang lebih tertutup dan terhalang dengan tidak mempedulikan masalah politik atau masalah lain yang mempengaruhi masyarakat kerana tujuan utama mereka hanyalah untuk mendapatkan wang sebanyak mungkin.

“Kita hidup dalam dunia yang selari kerana kita semua mempunyai masalah dan kehidupan masing-masing,” jelasnya.

Mengenai perbezaan antara ‘Come and Go’ dan dua filemnya yang terdahulu, Lim berkata, filem terbarunya itu memaparkan Osaka sebagai bandar kosmopolitan yang lebih rancak berbanding 10 tahun yang lepas.

“Bandar ini menjadi magnet kepada para eksekutif perniagaan dan lebih ramai orang asing bekerja di sana. Sektor pelancongan juga berkembang pesat, yang didorong oleh penerbangan AirAsia ke Jepun, ” katanya,

Beliau berkata, walaupun Osaka sebagai sebuah kota yang seragam di Jepun telah dibuka untuk orang asing, terutama dengan kebanjiran kemasukan pekerja asing, halangan budaya dan sosial masih dialami.

“Kebanyakan watak dan episod dalam ‘Come and Go’ berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman saya sendiri mengenai impian dan tujuan orang Jepun dan asing termasuk kerangka sosialnya,” tegas Lim.

TRILER CEMAS

Cerita pendek dalam ‘Come and Go’ ini, diarah, ditulis dan diedit oleh Lim dan tempoh penayangan mengambil masa 158 minit, mengisahkan seorang eksekutif pelancongan dari Malaysia dalam urusan perniagaan ke Jepun; seorang pelarian dari Nepal yang bekerja di Jepun untuk mencapai impiannya memiliki sebuah restoran; seorang pelajar dari Myanmar yang bekerja sambilan; pekerja asing dari Vietnam; dan seorang pelancong dari China.

Ia juga mengisahkan seorang gadis Jepun yang terpaksa menjadi model bogel untuk memenuhi keperluan hidupnya, pengarah video lucah dari Okinawa, penagih bahan lucah dari Taiwan, seorang detektif polis Jepun, seorang guru bahasa Jepun dan seorang pekerja sampingan berdarah campuran Jepun dan Amerika.

Tatkala orang Jepun dan orang asing dilihat bersikap semakin tidak mempedulikan antara satu sama lain, filem ini membuka tirainya dengan kisah penemuan sisa-sisa tulang rangka seorang wanita tua Jepun yang mayatnya terbiar selama berbulan-bulan di rumahnya sendiri.

Mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap pawagam, Lim berkata, di Jepun, orang ramai kini berusaha untuk menghidupkan semula kehidupan mereka setelah sekian lama berhadapan deflasi dan penurunan harga barang pengguna, serta pandemik COVID-19, dan mereka kini menyedari betapa pentingnya pawagam dan industri filem dalam kehidupan mereka.

“Impian berputik semula selepas mengharungi beberapa tempoh kegelisahan, dan orang ramai (mulai) gembira setelah menonton filem di pawagam.

“Saya berpendapat ini suatu perkembangan yang sama turut berlaku di China, Amerika dan Eropah selepas tempoh perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19,” katanya.

Semasa di Malaysia baru-baru ini, Lim sempat mengembara ke seluruh Sabah dan Sarawak selama satu setengah bulan selepas kelonggaran perintah kawalan pergerakan, untuk mencari inspirasi bagi filemnya yang seterus, berkemungkinan akan ditetapkan pengembaraannya di satu daripada negeri-negeri di Borneo.

“Saya sedang memikirkan sebuah filem triler yang penuh cemas berlatar belakang tepi pantai yang indah di Sabah atau Sarawak. Mudah-mudahan, saya dapat menyiapkan skripnya tahun hadapan dan menemui beberapa penerbit dan merealisasikannya,” tambahnya.

Pembuat filem ini juga pernah membuat penggambaran filemnya di luar Asia seperti di wilayah Balkan iaitu di Slovenia dan Croatia dan kini bersiap sedia untuk menerokai Turki. — Bernama

(Diterjemah oleh Cik Rashidah Abd Ghani)

Advertisement