Anda di sini

Beli ikan laga untuk anak, tidak sangka jadi penternak ikan hiasan

Advertisement
HALF MOON YELLOW MASCOT.
HALF MOON YELLOW MASCOT.

SIRI 2

BELI ikan laga untuk anak perempuan sebagai hadiah untuk menggembirakan hati anak kesayangnya, kini telah bertukar menjadi sumber pendapatan sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19.

Joseph Hing, 31, seorang penyelia jualan minyak pelincir kenderaan di Sandakan, Sabah telah mula berjinak menternak ikan laga untuk menjadi sumber pendapatan.

Pada mulanya, beliau tidak sedikit pun terfikir untuk membuat perniagaan selepas membeli seekor ikan laga untuk dihadiahkan kepada anak perempuannya yang pada masa itu berumur 3 tahun pada tahun September 2019.

JOSEPH HING
JOSEPH HING

Joseph berkata dia membeli seekor anak ikan laga jantan untuk anak perempuannya dengan harga RM15.

“Dengan kecantikkan, seni dan kepelbagaian warna pada ikan laga bersaiz jari kelingking kanak-kanak telah menimbulkan rasa minat secara mendalam mengenai ikan itu,” katanya.

Beliau berkata rasa ingin tahu bagaimana membiak ikan itu telah bermula dengan melihat sendiri melalui sumber youtube.

“Saya telah membeli seekor lagi ikan laga betina untuk memulakan belajar menternak dan berjaya melakukannya sehingga hari ini,” katanya.

Minat yang mendalam Joseph terhadap ternakan ikan laga tercetus setelah berjaya membesarkan tujuh ekor ikan sehingga dewasa hasil benih ikan laga pertama dibelinya.

Beliau memberitahu bermula dari itulah dia melihat potensi untuk membuka perniagaan ikan laga boleh dilakukannya.

Joseph telah memiliki pusat ternakan sendiri di kediamannya di Taman Grandview, Sandakan, Sabah.

Pada Disember 2019, beliau telah menyertai pertandingan ikan laga buat pertama kalinya yang diadakan di Sandakan pada masa itu.

 Joseph meletakkan ikan laga miliknya dihalaman rumah.
MINAT: Joseph meletakkan ikan laga miliknya dihalaman rumah.

Beliau berkata waktu menyertai pertandingan tersebut dimana dia telah kenal ramai rakan yang merupakan peminat ikan laga.

“Saya telah banyak belajar masa menyertai pertandingan tersebut dan mendapat tips-tips penjagaan ikan laga serta ikan laga yang layak ke pertandingan,” katanya.

Sertai pertandingan adalah kemuncak kualiti ikan laga

Joseph berkata pertandingan ikan laga adalah kemuncak kepada hobi pelihara ikan laga yang kita miliki.

“Ini kerana masa pertandingan itu lah, nilai ikan laga milik kita dinilai dan disitulah harga pasaran ikan laga akan ditentukan mengikut kualiti dan warna ikan sama seperti dalam pertandingan,” katanya.

Beliau berkata pertandingan ikan laga tidak melibatkan pertempuran walaupun ikan ini disebut ikan bertarung Siam.

“Pertandingan ikan laga akan menyaksikan ikan disimpan didalam bekas khas untuk pertunjukan yang akan dihakimi melalui penilaian warna, bentuk dan corak ikan laga berenang,” katanya.

Beliau berkata pertandingan ikan laga mula dijalankan lebih kerap bermula tahun lepas tetapi terhenti ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula bulan Mac lepas.

HALF MOON PLAKAT MULTICOLOUR GALAXY.
HALF MOON PLAKAT MULTICOLOUR GALAXY.

“Pertandingan ikan laga buat pertama kali dalam bulan September lepas telah dijalankan sejak PKP dimulakan dimana menyaksikan rekod tertinggi dengan 722 ikan dari 262 peserta dari seluruh Sabah, Labuan, Sarawak dan Melaka,” katanya.

Joseph memberitahu pertandingan ikan laga adalah acara terpenting yang akan menjadikan perniagaan ikan laga di Sabah terus berkembang kehadapan.

“Itulah sebabnya mengapa pertandingan ikan laga penting untuk terus mendorong peminat ikan laga tempatan untuk membiakan ikan dengan kualiti yang lebih baik. Bagi kami sebagai penternak ikan juga perlu menghasilkan kualiti ikan lebih baik bagi mendapat pasaran,” katanya.

Beliau memberitahu semangat untuk menumpuhkan kepada peniagaan ikan laga secara serius dimulakan selepas pertandingan itu dan mendapat sokongan yang penuh dari isterinya yang merupakan seorang wartawan.

Isterinya juga kini telah mula berjinak-jinak dan menjadikan ikan laga sebagai hobi dan sentiasa membantunya menternak ikan laga.

Buat logo perniagaan ikan laga

Joseph telah membuat logo ikan laga dengan nama DK Betta sebagai permulaan dimana menjadikan halaman rumahnya sebagai ruang meletakkan ikan laga untuk dipasarkan kepada pembeli.

“Saya telah mula membuat pembiakan ikan laga di rumah selepas itu, ikan semakin banyak dan mendapat juga sambutan yang baik dari peminat ikan sekecil anak jari kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini DK Betta telah memiliki lebih 200 ekor ikan laga yang mana tidak termasuk anak ikan atau fly yang baru menetas.

“Saya telah memasang canopy untuk membuat ladang mini ikan laga di belakang rumahnya untuk meletak fly (anak ikan),” katanya.

Beliau juga membuat pasaran melalui penjualan online melalui facebook yang mana ada antara pelanggannya dikalangan peminat ikan laga baharu dan yang telah lama bermain ikan laga.

“Terdapat juga pelanggan yang tidak pernah memelihara ikan laga dan baru mahu mencuba untuk dijadikan hobi mereka,” katanya.

Joseph berkata perniagaan semasa PKP sejak bulan Mac lepas adalah memberangsangkan sebab ramai orang mula minat dengan hobi memelihara ikan laga sebab ada banyak masa di rumah.

"Lebih banyak orang memilih ikan laga sebagai hobi, bahkan ada yang mulai berminat untuk membiak ikan mereka dan mula mendapat wang dari hobi itu kerana mereka mempunyai masa lapang di rumah semasa PKP.

“Sebilangan besar peminat ikan laga juga mempunyai ikan kelas persaingan yang baik, dan hanya menunggu pertandingan yang akan disertainya,” katanya.

Beliau juga melihat peningkatan dari 3 hingga 5 peratus penternak dan penjual ikan laga  sepenuh masa di kalangan peminat, menjadi sekitar 10 peratus sekarang dan ini adalah langkah yang baik bagi perniagaan ikan laga di Sabah. 

Kaedah alam semulajadi faktor hasil ikan berkualiti

Joseph berkata penghasilan menggunakan kaedah alam semulajadi mempunyai kelebihan dari segi warna, saiz dan jangka hayat lama berbanding ikan kaedah moden.

Beliau berkata ciri-ciri menggunakan kaedah semulajadi masih digunakan olehnya walaupun masih bergantung dengan kaedah moden.

“Ikan laga yang membuat buih di permukaan air, adalah ikan laga jantan. Ikan membuat buih menandakan keselesaan dengan keadaan air dan persekitaran mereka berada didalam bekas yang sesuai,” katanya.

Katanya, tapi tujuan utama membuat buih adalah sebagai sarang untuk telur yang dikeluarkan ikan laga betina apabila bersama dengan ikan laga jantan.

“Proses pembiakan, ikan laga jantan akan ditemukan dengan betina tanpa bersentuhan. Contohnya, betina diletakkan dalam bekas lutsinar yang lebih kecil, dan dimasukkan dalam bekas jantan. Induk ikan itu boleh melihat sesama sendiri tapi tidak boleh bersentuh. Ini untuk mengelakkan berlaku pertarungan yang menyebabkan boleh terjadi kecedaraan kepada ikan.

“Selepas ikan jantan membuat buih sarang yang kukuh, ikan betina boleh dilepaskan dan dibiarkan selama 1-2 hari. Apabila betina sudah melepaskan telur, jantan akan mengutip semua telur itu dan masukkan ke dalam buih sarang.

Beliau berkata semasa ini betina sudah tidak ada fungsi dan harus dikeluarkan daripada tangki pembiakan.

“Hanya jantan akan tinggal di dalam tangki pembiakan. Ikan laga jantan akan menjaga telur. Fly yang jatuh ke atas lantai akan dimasukkan balik ke dalam buih yang terapung di permukaan oleh ikan laga jantan,” katanya.

Selepas lebih kurang 3 hari, Joseph berkata anak ikan sudah boleh berenang sendiri (boleh berenang ke kiri dan kanan, bukan atas bawah) boleh lah asingkan atau keluarkan ikan laga jantan dari tangki .

 Joseph menjadi pengadil pertandingan ikan laga terbesar di Sabah pada bulan September lepas.
PENGADIL PERTANDINGAN: Joseph menjadi pengadil pertandingan ikan laga terbesar di Sabah pada bulan September lepas.

“Penjagaan yang rapi pembesaran fly (anak ikan) adalah amat penting terutamanya penjagaan kebersihan air, pemakanan serta saiz meletak fly dan sebagainya,” katanya.

Joseph berkata kini dia memiliki lebih kurang 200 hingga 300 ekor anak ikan laga selepas menetas dan boleh dipasarkan apabila menjangkau usia 3 bulan keatas.

Beliau berkata meskipun industri ikan laga agar kebelakang berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, namun spesies ikan laga yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Joseph percaya pengeluar ikan laga di negara ini bakal mampu bersaing sekiranya usaha berterusan menghasil ikan laga berkualiti tinggi.

  • oleh
  • Advertisement