Anda di sini

Usahawan, broker tanah didakwa tipu projek bernilai RM2.5 juta

Advertisement
 Mad Nazzri dan Mohd Yazzid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Johor Bahru semalam atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat untuk mendapatkan projek pembersihan hutan di Mersing bernilai RM2.5 juta, April tahun lalu. — Gambar Bernama
PERTUDUHAN: Mad Nazzri dan Mohd Yazzid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Johor Bahru semalam atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat untuk mendapatkan projek pembersihan hutan di Mersing bernilai RM2.5 juta, April tahun lalu. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang usahawan dan broker tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat berhubung projek pembersihan hutan di Mer-sing bernilai RM2.5 juta, April tahun lalu.

Mad Nazri Kasbi, 46, dan Mohd Yazzid Ahmad, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd  Farid Nazzrin Ahmad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa menipu seorang pemilik syarikat dengan memperdayakan mangsa bahawa mereka boleh mendapatkan projek kerja-kerja pembersihan hutan di kawasan Sekakap, Mukim Jemaluang, Mersing.

Kedua-dua tertuduh dengan curangnya telah mendorong mangsa menye-rahkan cek bernilai RM2.5 juta melalui sebuah firma guaman di Pusat Perdaga-ngan Danga Utama, dekat Skudai, pada jam 2 petang, 11 April 2019.

Mereka didakwa Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew mencadangkan jaminan RM100,000 dengan mengambil kira kes melibatkan nilai kerugian yang tinggi serta memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap minggu.

Peguam N. Rhubini, yang mewakili Mad Nazri dan Shaikh Saleem Daud bagi pihak Mohd Yazzid, bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan munasabah atas alasan anak guam mereka memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 6 Disember ini untuk serahan dokumen. — Bernama

Advertisement