Anda di sini

Tiada darurat PRN ke-12 akan dilakukan 'bila tiba masanya'- Abang Johari

Advertisement
Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjong Datu, Sematan hari ini.
Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjong Datu, Sematan hari ini.

SEMATAN: Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan diteruskan memadangkan tiada pengisytiharan darurat susulan pandemik COVID-19. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir tamat dan mandat harus dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

“Kita tidak ada pilihan kerana darurat tidak dilaksanakan. Bermakna, institusi kerajaan masih berjalan seperti biasa. 

“Dan bagi pihak kita di Sarawak, kita tahu bahawa mandat kita akan tamat tempoh pemerintahan dan kita beri mandat kepada rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjung Datu di sini hari ini. 

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menambah, beliau menjunjung kasih kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang telah memberi nasihat yang begitu baik dalam soal menguruskan pandemik ini. 

Pertama katanya Yang di-Pertuan Agong menasihatkan ahli-ahli politik supaya jangan terlalu berpolitik dan kedua untuk rakyat Malaysia bersatu dalam keadaan COVID-19 ini. 

“Bagi kita negeri Sarawak, kita menjunjung kasih, kita akan patuh dengan nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong. 

“Dan saya serta rakan-rakan sudah tentu akan menjalankan tugas sepertimana dikehendaki rakyat walaupun kita menghadapi keadaan di mana mandat kita akan habis,” katanya. 

Abang Johari turut menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang membolehkan Sarawak mengadakan pilihan raya tetapi dalam persekitaran yang terkawal. 

Beliau turut berharap mereka yang bertanggungjawab khasnya SPR boleh melihat apa yang telah dilaksanakan di Singapura dan New Zealand dan mengambil iktibar daripada dua negara ini menguruskan pilihan raya dalam keadaan COVID-19. 

  • oleh
  • Advertisement