Anda di sini

Perwakilan PBB sokong Abang Johari terus memimpin Sarawak

Advertisement
 Manyin menyerahkan usul kepada Abang Johari. — Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
RESOLUSI: Manyin menyerahkan usul kepada Abang Johari. — Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebulat suara menyokong presiden parti, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk terus memimpin Sarawak sebagai Ketua Menteri.

Sokongan itu dicapai semasa Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan yang dihadiri 26 cawangan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Naib Preseiden Kanan PBB Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, kesemua perwakilan PBB menzahirkan taat setia dan sokongan kepada Abang Johari untuk terus memimpin Sarawak dan memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-12.

“Resolusi kedua ialah menghargai dan mendukung corak kepimpinan sedia ada. Kami menghargai dan mendukung sepenuhnya semangat kesetiakawanan serta kerjasama berpasukan dalam barisan kepimpinan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

“Ia membuktikan kematangan, keikhlasan dan kewibawaan yang tinggi dalam membela nasib rakyat serta pendekatan inklusif dan prihatin dalam mentadbir Sarawak. Maka ini, kami mengusulkan agar kepimpinan terbaik ini diteruskan ke arah Sarawak maju 2030,” katanya ketika membentangkan sembilan resolusi pada konvensyen itu.

Resolusi ketiga, kata Manyin yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, adalah mempertingkatkan usaha memperjuangkan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan.

“Kami mengiktiraf dan menghargai kejayaan berimpak tinggi serta usaha gigih penuh bijaksana kerajaan pimpinan Ketua Menteri dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak serta kejayaan memartabatkan undang-undang Sarawak. 

“Antaranya seperti Ordinan Cukai Jualan  Negeri (SST) pindaan 2018, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) dan membela kuasa autonomi Sarawak seperti dikehendaki di bawah Perjanjian Malaysia 1963 serta laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).  Oleh itu, perwakilan menyokong penuh usaha ini dipertingkatkan dan diperkasakan secara berterusan,” ujarnya.

Bagi resolusi keempat kata Manyin, adalah usul ekonomi di mana perwakilan parti memperakui kepentingan ekonomi digital dalam kehidupan rakyat serta tadbir urus kerajaan dalam era alaf terkini.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak perlu merangka satu pelan holistik dan menyeluruh bagi memperhebatkan kegiatan-kegiatan ekonomi domestik dan antarabangsa serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan dalam semua sektor ekonomi dalam kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Manyin menambah, resolusi kelima ialah usul pembangunan dengan mencadangkan penubuhan sebuah agensi khusus yang mempunyai kuasa dan autoriti untuk merangka pembangunan pembesaran kampung, dalam usaha memulihara konsep kampung tradisi khususnya di kawasan berkepadatan tinggi. 

“Ini bertujuan melancar dan memperkasakan lagi usaha ke arah mewujudkan kampung tradisi yang dilengkapi infrastruktur serba moden dan memenuhi semua keperluan termasuk sudut ekonomi, pendidikan, pendigitalan, kemasyarakatan, kesihatan awam, rekreasi, keceriaan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Manakala resolusi keenam ialah usul sosial yang berhubung dengan mempertahan dan memperkukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya menerusi dasar kerajaan melalui agensi seperti Majlis Agama Islam Sarawak dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR). 

“Selain itu merancakkan lagi program mentransformasikan Sarawak khususnya di kawasan luar bandar Sarawak menerusi projek rakyat dalam bidang infrastruktur dan utiliti sambil memberi peluang kepada pelajar, belia dan remaja untuk mahir dan separa mahir mendapatkan peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Bagi usul perumahan pula, Manyin berkata, adalah untuk membangunkan pembangunan perumahan yang lebih berkualiti dan rumah mampu milik khususnya untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan M40 termasuk belia yang baharu berumah tangga di seluruh Sarawak. 

“Dalam usaha mengatasi kepadatan penduduk di kampung tradisi dan kesukaran mendapat tempat tinggal di bandar-bandar.

“Usul pertanian adalah resolusi kelapan di mana kita mahu membangun dan merancakkan pemodenan pertanian dengan mewujudkan fasiliti dan program ke arah melahirkan tenaga belia yang terlatih dalam pertanian moden dan agroteknologi serta Internet of Things (Internet Benda),” katanya.

Manyin berkata, bagi resolusi kesembilan ialah usul pendidikan iaitu memperbaiki sistem dan kualiti pendidikan di Sarawak dengan kuasa autonomi serta peruntukan yang wajar daripada kerajaan pusat.

“Ini agar pencapaian anak-anak dapat ditingkatkan sambil dapat mengatasi masalah seperti adanya ratusan sekolah-sekolah kurang murid (SKM) yang membazirkan, kerap pertukaran guru, kedaifan prasarana dan fasiliti sekolah yang begitu merisaukan.

“Masalah  kekurangan guru mahir dalam Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang menjadi penyebab utama membantutkan prestasi dan pencapaian anak-anak Sarawak terutama di luar bandar juga dapat diatasi,” katanya.

Advertisement