Anda di sini

Penunggang motosikal maut langgar pokok tumbang

Advertisement
 Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas kemalangan terbabit.
ROSAK: Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas kemalangan terbabit.

MIRI: Seorang lelaki maut setelah motosikal ditungganginya terlanggar sebatang pokok tumbang atas jalan raya di Jalan Kampung Masjid Kuala Baram di sini malam Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut setelah menerima laporan polis daripada saudara mangsa sekitar jam 4.21 petang kelmarin.

Menurutnya, mangsa dikenali Mohd Khairuzhuan Ismail, 25, dari Kampung Masjid Kuala Baram terlibat kemalangan kira-kira jam 9.10 malam.

“Sebelum kejadian mangsa menunggang motosikal datang dari arah Senadin iaitu dari tempat kerja hendak menuju ke rumah di Kampung Masjid Kuala Baram.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa tidak sempat mengelak sebatang pokok tumbang di atas jalan raya di hadapan laluannya lalu melanggar pokok tersebut dan terjatuh,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Alexson berkata, terdapat seorang saksi lelaki berusia 29 tahun turut berada di tempat kejadian hanya mengalami cedera ringan kerana sempat mengelak terlanggar pokok terbabit dan terbabas ke bahu jalan.

“Saksi itu kemudian meminta pertolongan penduduk kampung untuk membawa mangsa ke hospital.

Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan susulan di hospital kira-kira jam 11.19 malam,” jelasnya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Advertisement