Anda di sini

Peniaga didenda RM1,000 buat laporan polis palsu

Advertisement
 

KUCHING: Seorang peniaga lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah membuat laporan palsu kononnya kenderaan serba guna miliknya hilang dicuri di Jalan Song, minggu lalu.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar juga menetapkan Nicholas Lee Kwang Kiang, 33, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pembekal barangan perkakasan itu didakwa sengaja membuat laporan polis palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada 22 Oktober lalu, jam 11.10 pagi, membabitkan kes kecurian kenderaan.
 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh melaporkan bahawa kenderaan serba guna miliknya yang diletakkan di tempat letak kereta di Jalan Song pada 21 Oktober, jam 8.30 malam telah dicuri oleh orang yang tidak dikenali. 

Hasil siasatan polis kemudian mendapati laporan yang dibuat tertuduh adalah tidak benar dan dia sengaja berbuat demikian kerana hendak mendapatkan tuntutan insurans.

Justeru, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dilaporkan membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

  • oleh
  • Advertisement