Anda di sini

Pelihara hidupan marin, 1100 tukun tiruan ditanam di perairan Sampadi-Tanjung Datu 

Advertisement
Abang Johari melakukan simbolik pelancaran melabuh tukun tiruan di perairan Sampadi- Tanjong Datu di Sematan hari ini.
Abang Johari melakukan simbolik pelancaran melabuh tukun tiruan di perairan Sampadi- Tanjong Datu di Sematan hari ini.

SEMATAN: Kerajaan negeri menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) mempergiatkan lagi usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan marin dengan menanam 1100 unit tukun tiruan di perairan Sampadi-Tanjung Datu. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penanaman tukun tiruan ini dapat membantu menambah hasil pendapatan nelayan di negeri ini. 

Ini kerana katanya menerusi tukun tiruan ikan boleh membiak, menghidupkan tumbuhan laut yang merupakan makanan untuk hidupan lautan.

“Sebab itu kita bagi peruntukan RM70 juta untuk menanam tukun tiruan di seluruh perairan Sarawak dari Tanjung Datu hingga Lawas yang terpanjang di dunia iaitu  lebih 1,000 kilometer (km). 

“Hasilnya jelas, di mana apabila kita buat di perairan Mukah dan Belawai, pendapatan nelayan meningkat daripada RM100 kepada RM300 sehari,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjung Datu 2020 di Kem Putra Sentosa di sini hari ini. 

Pada majlis itu Abang Johari juga berkata kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano sangat cerah dari sudut pelancongan. 

Sebab itu katanya kerajaan negeri mahu membina jalan raya berkembar dari Kuching melimpasi Siniawan, Bau dan seterusnya bersambung dengan Lebuhraya Pan Borneo serta jalan dari Rambungan yang akan menghubungkan Lundu, Sematan dan Telok Melano. 

“Masa depan Lundu, Sematan, Telok Melano sangat cerah dari sudut pelancongan. Yang penting jaga alam sekitar. 

“Kalau pelancong banyak datang mereka akan menyewa perahu, tempat penginapan penuh, restoran pun penuh. 

“Ini rancangan jangka panjang kita. Kita teruskan usaha Tok Nan, Tok Nan sangat sayangkan Tanjong Datu dan saya percaya kita akan terus dapat membangunkan kawasan sekitar ini,” katanya. 

Pada majlis itu Abang Johari turut menyerahkan cek Program Pemuliharaan Penyu di Pulau Talang-Talang Kecil bernilai RM131,746 kepada Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani serta sijil Sukarelawan Renjer Penyu kepada 17 orang penerima. 

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif 1 SFC, Oswald Braken Tisen. 

Abang Johari serta tetamu kenamaan yang lain merakamkan gambar bersama Sukarelawan Renjer Penyu. Gambar PENERANGAN
Abang Johari serta tetamu kenamaan yang lain merakamkan gambar bersama Sukarelawan Renjer Penyu. Gambar PENERANGAN
  • oleh
  • Advertisement