Anda di sini

Langgar SOP: 40 pelanggan pusat hiburan ditahan 

Advertisement
Kesemua 40 pelanggan di sebuah pusat hiburan di kawasan Tanjung Batu Commercial Centre yang ditahan kerana melanggar SOP PKPP, pada malam Ahad.
Kesemua 40 pelanggan di sebuah pusat hiburan di kawasan Tanjung Batu Commercial Centre yang ditahan kerana melanggar SOP PKPP, pada malam Ahad.

BINTULU: Polis menahan  40 pelanggan sebuah pusat hiburan di kawasan Tanjung Batu Commercial Centre kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada awal pagi Ahad. 

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Subaili menerusi kenyataannya hari ini berkata, dalam serbuan yang dijalankan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sekitar jam 3 pagi itu, kesemua pengunjung warga tempatan berumur 20 hingga 57 tahun itu didapati melanggar SOP ditetapkan iaitu tidak mengamalkan penjarakan fizikal. 

"Serbuan yang dijalankan turut menahan seorang lelaki dan wanita tempatan masing-masing berumur 32 dan 20 tahun dipercayai pengurus dan pekerja pusat hiburan berkenaan," ujarnya. 

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan peralatan sistem bunyi,meja, kerusi dan wang tunai berjumlah RM2,700. 

Hasil pemeriksaan lanjut katanya mendapati pusat hiburan terbabit beroperasi tanpa lesen dan lebih masa.

Menurut Zulkipli, jika didapati bersalah, pengurus pusat hiburan terbabit berhadapan hukuman penjara sehingga satu tahun, berserta denda tidak melebihi RM2, 000 atau keduanya sekali.

Bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen pula ujarnya, pesalah berhadapan hukuman penjara sehingga lima tahun berserta denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Zulkipli dalam pada itu memberikan amaran keras kepada orang awam di Bintulu agar sentiasa mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan sebagai langkah mengekang penularan wabak COVID-19. 

"Justeru itu, orang awam khususnya di premis makanan atau tempat awam yang lain agar mendaftar dalam aplikasi MySejahtera sebelum memasuki sesebuah premis,  menulis nama dan mengambil bacaan suhu di pintu masuk utama dan paling penting mengamalkan SOP yang ditetapkan khususnya penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka, " tegasnya. 

  • oleh
  • Advertisement