Anda di sini

La Liga: Real Madrid ratah Barcelona 3-1 dalam aksi perlawanan El Clasico

Advertisement
 Aksi perlawanan La Liga di antara Barcelona dan Real Madrid di Stadium Camp Nou, Barcelona. — Gambar AFP
RANCAK: Aksi perlawanan La Liga di antara Barcelona dan Real Madrid di Stadium Camp Nou, Barcelona. — Gambar AFP

BARCELONA: Real Madrid mengelak satu krisis dengan cara yang terbaik apabila menewaskan musuh utama, Barcelona 3-1 pada pertarungan El Clasico yang pertama tanpa penonton, sekali gus memberikan kekecewaan awal kepada Barcelona dalam saingan kejuaraan La Liga Sepanyol pada Sabtu.

Barca mempunyai peluang untuk memberikan kekalahan ketiga berturut-turut Real Madrid selain menambah tekanan kepada jurulatihnya, Zinedine Zidane.

Namun sebaliknya, kemenangan Real membolehkan mereka kini memiliki kelebihan enam mata berbanding Barca, selepas bermain lebih satu perlawanan.

“Ia hanya tiga mata tetapi kami harus meraikannya, terutama sekali selepas semua yang diperkatakan tentang skuad ini,” kata Zidane.

Penalti Sergio Ramos dan gol lewat Luka Modric menamatkan cabaran Barcelona selepas Federico Valverde dan Ansu Fati menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan 1-1 pada awal permainan.

“Anda sentiasa akan mengharungi satu tempoh buruk dalam satu musim dan saya berharap ini adalah yang terakhir,” kata Ramos. “Untuk menang di tempat lawan terkuat anda adalah sesuatu yang sentiasa memuaskan.”

Atletico Madrid mengambil peluang dari kekalahan Barca dengan menewaskan Real Betis 2-0 untuk melonjak ke tangga  kedua liga tetapi Sevilla terlepas peluang apabila tewas mengejut 0-1 kepada Eibar di tempat sendiri.

Barcelona mungkin terkilan dengan kekalahan itu, terutama sekali apabila penalti Ramos diberikan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) selepas Clement Lenglet menarik jersi kapten Real itu.

“Mungkin suatu hari nanti anda boleh menjelaskan bagaimana VAR berfungsi di Sepanyol,” kata jurulatih Barca, Ronald Koeman.

Tetapi selain dari aksi memberangsangkan dalam separuh masa pertama, apabila Lionel Messi mengancam mencorak permainan beliau sendiri, Real menguasai hampir sepanjang permainan dan menyempurnakan peluang yang datang.

Ini adalah perlawanan Clasico pertama Koeman sebagai jurulatih dan beberapa tekanan yang dialami Zidane kini beralih kepada Koeman, yang hanya melihat pasukannya menang tiga kali dari enam perlawanan.

Pandemik koronavirus (COVID-19) bermakna stadium bola sepak terbesar di Eropah sunyi untuk pertarungan El Clasico dengan presiden La Liga, Javier Tebas mendakwa  ia “masih  perlawanan terbesar di dunia”.

Dalam beberapa minggu yang lalu, Real Madrid tewas kepada Shakhtar Donestsk dalam Liga Juara-Juara dan pendatang baharu La Liga, Cadiz, sementara Barcelona tewas kepada Getafe.

Namun penurunan dalam kualiti permainan tidak bermakna penurunan dalam drama dan keraguan tentang perlawanan ini apabila kedua-dua pasukan menjaringkan gol awal.

Real bermula dengan baik apabila Valverde membuka jaringan seawal minit kelapan tetapi Barca mengikat kedudukan tiga minit kemudian.

Ia adalah permainan yang pantas dan terbuka dalam separuh masa pertama dengan Messi mempunyai beberapa peluang tetapi gagal melakukan penyudah.

Karim Benzema boleh meletakkan Real kembali di hadapan lebih awal sebelum rehat tetapi cubaan beliau tersasar namun Barca juga mempunyai peluang dengan cubaan Fati dan Philippe Coutinho.

Namun rentak Barca terjejas apabila Lenglet mengasari Ramos, membolehkan kapten Real menjaringkan penalti untuk meletakkan Real di hadapan sekali lagi.

Barca tidak bernasib baik untuk mengikat kedudukan apabila bola dari bola terkena lengan Raphael Varane ketika Ramos cuba menolak bola keluar dari bahaya tetapi tidak diendahkan pengadil dan Real tidak dicabar lagi selepas itu sebelum Modric melengkapkan jaringan pada minit akhir.

Atletico hanya satu mata di belakang Real dan kurang satu perlawanan selepas gol dari Marcos Llorente dan Luis Suarez untuk menewaskan Betis, yang kehilangan Martin Montoya kerana kad merah ketika berbaki 16 minit permainan. — AFP

Advertisement