Anda di sini

Kerjasama erat kerajaan dan golongan petani penting

Advertisement
 Ketibaan Rolland dan rombongan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Biro Wanita Nanga Bua disambut penuh adat dan kebudayaan.
DISAMBUT MERIAH: Ketibaan Rolland dan rombongan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Biro Wanita Nanga Bua disambut penuh adat dan kebudayaan.

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin menegaskan bahawa misi menjadikan Sarawak ‘food basket’ utama negara tidak tercapai sekiranya tiada sokongan padu daripada golongan sasar.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan dan golongan ini amat penting bagi memastikan misi ini dapat mencapai matlamat dan memberi manfaat bersama.

“Kerajaan menyediakan peruntukan besar merangkumi bantuan peralatan, khidmat nasihat, kewangan dan menjalinkan kerjasama dengan negara luar untuk mendapatkan pasaran produk tempatan yang dihasilkan golongan petani dan penternak.

“Kita menyeru penduduk luar bandar yang berkecimpungan dalam bidang ini mengubah cara pertanian dan perternakan dijalankan secara kecil-kecilan kepada lebih besar dan komersil.

“Golongan ini perlu berani berubah jika ingin maju kerana landasan meningkatkan produktiviti disediakan kerajaan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Biro Wanita Nanga Bua di Rumah Liba, Nanga Bua, Julau semalam.

Rolland menegaskan dengan kesuburan dan keluasan tanah adalah tidak mustahil golongan petani di kawasan luar bandar memajukan diri.

“Berdasarkan pemantauan beberapa agensi berkaitan kita dimaklumkan bahawa kawasan Julau amat subur untuk penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan selain lada, getah dan kelapa sawit.

“Kita harap masyarakat di sini dapat mendapatkan khidmat nasihat daripada jabatan kerajaan berkaitan jika ingin menjadi petani dan perternak berjaya,” katanya.

Rolland turut memuji kebolehan dan kemahiran golongan wanita rumah panjang menghasilkan barangan kraf tangan unik, menarik dan berkualiti.

Pada majils itu, Rolland menyampaikan geran berjumlah RM40,000 kepada 11 Biro Wanita dan dua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan tersebut.

Hadir sama Penasihat Biro Wanita DUN Meluan Sheila Ulat Pengarah, Penghulu Changgan Budong, Penghulu Junit Tedong,  Penghulu Joseph Wong King Said, Penghulu Blawan Grinang,  serta 11  tuai rumah dan 11 pengerusi Biro Wanita.

  • oleh
  • Advertisement