Anda di sini

Kemenangan 4-0 lonjak PSG ke tangga teratas Ligue 1

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 di antara PSG dan Dijon yang berlangsung di Stadium Parc des Princes di Paris. — Gambar AFP
SENGIT: Antara babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 di antara PSG dan Dijon yang berlangsung di Stadium Parc des Princes di Paris. — Gambar AFP

PARIS: Moise Kean dan Kylian Mbappe masing-masing menjaringkan dua gol ketika Paris Saint Germain (PSG) membenam Dijon 4-0 untuk melonjak ke tangga teratas Ligue 1 Perancis pada Sabtu ketika perlawanan di antara Lens dan Nantes ditangguhkan selepas 11 anggota dari pasukan tuan rumah diuji positif untuk COVID-19.

Kean diturunkan dalam kesebelasan utama perlawanan di Parc des Princes dan menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama, gol pertama beliau sejak berpindah ke PSG dengan kontrak pinjaman dari Everton.

Mbappe kemudian menggantikan Kean pada lewat permainan dan menambah dua lagi gol ketika skuad  kendalian Thomas Tuchel bangkit dari kekalahan kepada Manchester United dalam perlawanan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu dan kini mencipta kemenangan liga keenam berturut-turut.

Kemenangan meletakkan PSG di tangga teratas liga, satu mata di hadapan Lille, walaupun Lille boleh merampas kembali kedudukan jika menewaskan Nice pada perlawanan lewat.

“Apa yang paling penting ialah kembali meraih kemenangan di tempat sendiri,” kata kapten PSG, Marquinhos.

“Kami tahu musim ini bukannya mudah. Kami akan mempunyai banyak perlawanan, kami perlu menggilir pemain tetapi kami masih kompetetif dalam padang.”

PSG beraksi tanpa sembilan pemain kerana kecederaan atau penggantungan, termasuk Angel di Maria dan Marco Verratti sementara Mbappe bermula di bangku simpanan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Basaksehir di Turki pada Rabu.

Pada perlawanan lain, Marseille menang tipis 1-0 di Lorient menerusi gol Leonardo Baleri, membolehkan mereka naik ke tangga keempat liga, di belakang Rennes yang  tewas 1-2 kepada Angers pada perlawanan hari Jumaat.

Perlawanan Lens menentang Nantes yang dijadualkan pada Ahad, ditangguhkan selepas Lens kehilangan hampir seluruh pasukan dalam padang selepas ujian positif COVID-19.

Dalam satu kenyataan, Liga Perancis (LFP), berkata “menyedari bahawa ketiadaan 11 pemain dari senarai 30 pemain kerana positif ujian COVID-19, ia telah diputuskan untuk menangguhkan perlawanan Lens menentang Nantes yang dijadualkan pada Ahad ke tarikh yang akan ditentukan kemudian.”

Lens tidak mengesahkan identiti pemain tetapi akhbar tempatan, La Voix du Nord melaporkan bahawa dua kakitangan kelab, termasuk jurulatih Franck Haise, juga disahkan positif.

Ia bukan kali pertama dalam musim ini di mana satu perlawanan Ligue 1 ditangguhkan kerana COVID-19.

Perlawanan Ligue 2 di antara Grenoble menentang Nancy yang dijadualkan pada Sabtu, juga ditangguhkan selepas 13 pemain Grenoble diuji positif bersama-sama dengan lima kakitangan  kelab. — AFP

Advertisement