Anda di sini

Judi dalam talian: Wanita Indonesia dipenjara empat bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti judi dalam talian di sebuah rumah di Jalan Stutong Baru, di sini.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar menjatuhkan hukuman itu selepas Santi Tjhai, 27, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara dikuat kuasakan hari ini selain menetapkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selesai menjalani hukuman. 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 8 Oktober lalu, jam 7.53 malam di sebuah rumah terletak di Jalan Stutong Baru di sini. 

Dia ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak yang menyerbu premis berkenaan yang kemudiannya mendapati tertuduh mengaku bermain permainan judi dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit. 

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement